TERKINI :

Saturday, December 10, 2016

Perlu dana untuk tempurung tiruan


KULIM - Seorang jurukamera RTM yang kini menghidap pesakit strok memerlukan dana bagi membiayai kos tempurung kepala tiruan yang mencecah lebih RM20,000.

Selepas enam bulan diserang strok, Harul Shahrin Mohd Ali, 35, hanya mampu duduk di atas kerusi roda dan tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan.

Ibunya, Salmah Muhamad, 62, berkata, anak tunggalnya itu diserang strok pada 12 Jun lalu ketika sedang menikmati juadah berbuka puasa bersama rakan.

"Waktu berbuka puasa, dia jatuh dan pengsan. Rakan-rakan dia di Kuala Lumpur bawa dia pergi ke hospital.

"Pada 13 Jun, dia jalani rawatan di bahagian kepala dan doktor terpaksa buang tempurung untuk proses rawatan. Selepas pembedahan, dia pengsan selama seminggu sebelum sedar semula," katanya. 

Menurutnya, anaknya itu telah menjalani rawatan fisioterapi di Kuala Lumpur sebelum dibawa ke rumah untuk rawatan lanjut termasuk memasukkan semula tempurung tiruan di bahagian kepalanya.

"Kami bawa dia balik ke rumah. Setiap bulan Harul akan dapatkan rawatan terapi dan ambil ubat di Hospital Kulim. Di Hospital Pulau Pinang pula Harul akan buat pemeriksaan di bahagian kepala untuk proses masukkan semula tempurung tiruan. 

"Sekarang adik saya banyak membantu untuk mandikan dia, kalau nak pergi hospital di Pulau Pinang pula terpaksa sewa kereta dengan kos lebih RM100 termasuk makan dan minum," katanya.

Salmah berkata, kos tempurung tiruan mencecah lebih RM20,000 perlu dibiayai sendiri dan Harul perlu melakukan pembedahan segera.

"Doktor ada bagi tiga jenis tempurung tiruan untuk dimasukkan ke dalam kepala bagi menggantikan tempurung lama yang dikatakan telah rosak.

"Setiap tempurung tiruan itu mempunyai risiko, hanya mampu bertahan tiga tahun dan perlu diganti semula dengan pembedahan, tapi yang harga RM20,000 itu ia kekal dan kurang risiko," katanya.

Katanya, dia merayu orang ramai dapat membantu menghulurkan sumbangan untuk biayai kos tempurung kepala tiruan kerana tidak mampu.

"Saya tak ada sumber pendapatan lain, suami juga pesakit strok dan tak mampu berbuat apa-apa, saya merayu ihsan orang ramai untuk mengalirkan sumbangan menanggung kos tersebut," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh melalui akaun Maybank 152031588191 atas nama Salmah Mohamad.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...