TERKINI :

Sunday, December 18, 2016

Pengangguran siswazah meruncing...kenapa??


- Gambar Hiasan

DUA tajuk berita minggu ini cukup menarik untuk dibincangkan dan didalami kesannya. Satu berlaku di Malaysia dan satu lagi di luar negara. Kedua-duanya mengenai isu yang sama, iaitu krisis guna tenaga.

Berita dalam negara yang disiarkan akhbar The Sun menyentuh kadar pengangguran yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan siswazah.

Saya telah banyak kali mengulas mengenai hal ini tetapi apa yang memeranjatkan ialah keadaan menjadi bertambah meruncing dengan begitu cepat.

Berita dari luar negara pula berupa kenyataan Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengenai beban pengangguran dunia yang dijangka berterusan buat satu jangka masa panjang.

Laporan dalam negara yang memetik butir-butir daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan pengangguran dalam kalangan siswazah memuncak pada September lalu, kepada 34 peratus berbanding 30 peratus tiga tahun lalu.

Ini bermakna 34 orang daripada setiap 100 lulusan universiti atau seorang dalam tiga tidak mempunyai pekerjaan. Berdasarkan anggaran tenaga buruh seramai 14 juta orang, hampir setengah juta gagal mendapatkan pekerjaan. Daripada jumlah itu, 25 peratus berkelulusan universiti.

Apa yang sangat-sangat membimbangkan adalah tatkala pasaran buruh menguncup akibat kelembapan ekonomi, bilangan yang lulus universiti pula meningkat setiap tahun.

Perangkaan ini menunjukkan ekonomi negara menjadi semakin buruk sejak tiga tahun lalu akibat faktor dalam dan luar negara.

Kadar pengangguran siswazah hari ini mungkin lebih tinggi daripada mana-mana jangka masa ekonomi negara mengalami kelembapan misalnya pada pertengahan tahun 1980-an apabila kerajaan memperkenalkan skim latihan siswazah menganggur.

Di bawah skim itu, siswazah diambil bekerja oleh jabatan dan agensi kerajaan dengan elaun bulanan RM500 dan diberikan latihan. Banyak syarikat swasta turut membantu dengan mengadakan skim yang serupa walaupun upahan dan bentuk latihannya berbeza. Skim yang lebih kurang sama dilancarkan pada 2011 bertujuan membantu siswazah yang menganggur mendapat pekerjaan.

Bagaimanapun, memandangkan semakin ramai siswazah gagal mendapat pekerjaan, maka keberkesanan program itu tidaklah sebaik rancangan sebelum, di mana boleh dikatakan semua siswazah akhirnya mendapat pekerjaan.

Laporan itu mengatakan majikan menyalahkan kadar pengangguran siswazah yang semakin meningkat itu kepada ketidakseimbangan di antara bilangan jawatan baharu yang diwujudkan dengan bilangan siswazah yang memasuki pasaran buruh, selain sikap memilih kerja oleh sesetengah siswazah.

Banyak majikan kurang berminat mengambil graduan baharu kerana kecenderungan mereka melompat kerja semata-mata untuk mencari gaji lebih baik tanpa memikirkan soal latihan dan pengalaman.

Majikan yang ditemu ramah memberi amaran bahawa tanda-tanda menunjukkan pengangguran dalam kalangan siswazah akan meningkat lagi tahun depan berdasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi.

Jabatan Perangkaan juga mendapati kenaikan gaji dalam kalangan pekerja berijazah sangat tidak memuaskan. Gaji bulanan purata mereka sepanjang tahun ini meningkat hanya RM100 daripada RM3,000 kepada RM3,100.

Sementara laporan OECD pula berkata, secara keseluruhannya bilangan penganggur dunia dijangka mencapai rekod di antara 219 juta hingga 234 juta orang tahun ini akibat kelembapan ekonomi global.

OECD adalah gabungan 34 buah negara dan wilayah yang paling maju ekonominya di dunia. Kita tidak termasuk dalam kumpulan itu. Dua laporan ini mengesahkan betapa buruknya situasi guna tenaga kebangsaan dan global.

Bagi kita di Malaysia, adalah menjadi harapan agar kerajaan dan majikan swasta lebih peka terhadap kebajikan pekerja tempatan, khususnya siswazah.

Jika siswazah gagal mendapat pekerjaan yang sesuai dan dengan pendapatan setimpal maka harapan kita untuk mencapai status negara maju dan kaya mustahil terlaksana.

Sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1971, golongan inilah yang menjadi pemangkin kepada mobiliti sosial dan ekonomi. Mereka inilah yang banyak menyumbang ke arah pembentukan kelas menengah yang menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara.

Justeru, adalah amat penting bagi kita mengutamakan pekerja tempatan, khususnya graduan dan ahli profesional, dalam mengisi kekosongan jawatan sektor awam dan swasta.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...