TERKINI :

Saturday, December 17, 2016

Penganalisis: Tiada pergaduhan kaum selagi rakyat ada kerja

Prof-Hoo-Kee-Ping2

KUALA LUMPUR: Penganalisis ekonomi menolak kebimbangan pergaduhan kaum akan tercetus ekoran kemerosotan ekonomi yang dijangka berlaku dalam masa 2 tahun lagi.

Hoo Ke Ping dan Yeah Kim Ling tidak menjangkakan ekonomi negara akan merosot ke tahap sejumlah besar rakyat akan menganggur dan menyebabkan mereka terdesak untuk mencari kambing hitam.

Hoo berkata, beliau tidak nampak masyarakat kaum utama di negara akan menjadi pencetus rusuhan.

Beliau berkata, masyarakat Cina tidak berminat dalam konfrontasi, walaupun tidak berpuas hati dengan ekonomi negara.

"Paling tidak mereka akan menyuarakan rasa tidak puas hati di media sosial atau menyertai perhimpunan Bersih.

"Mereka tidak boleh menentang kerajaan, tetapi mereka juga tidak mahu tunduk kepada kerajaan. Jadi, buat masa ini, ia sekadar 'saya tidak lawan anda, tetapi saya tidak pasti jika saya akan sokong anda pada pilihan raya akan datang'."

Bagaimanapun, katanya, orang Cina hilang keangkuhan mereka pada masa lalu yang menjadikan mereka menolak kerajaan dan memihak kepada DAP. Namun, beliau mendakwa mereka semakin hilang kepercayaan terhadap DAP.

Hoo berkata, pergaduhan kaum hanya akan berlaku jika rakyat terlampau miskin dan kini bukan masanya.

"Protes jalanan akan diadakan secara aman kerana rakyat masih mempunyai pekerjaan. Malah, perhimpunan Baju Merah tidak mampu mencetuskan ketegangan kaum."

Katanya, status ekonomi orang Melayu sudah meningkat dan akan bertambah baik.

Malah, beliau menjangkakan penduduk luar bandar lebih bahagia daripada warga kota dalam masa beberapa tahun lagi.

"Ini kerana harga minyak sawit dijangka naik disebabkan permintaan lebih tinggi. Warga kota yang akan menderita kerana harga barangan meningkat."

Mengenai masyarakat India, Hoo berkata, mereka lebih gembira ekoran peluang mendapat pendidikan semakin banyak, dasar lebih baik untuk melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan mereka dan lebih banyak bantuan kewangan untuk menyokong budaya mereka.

"Masyarakat India adalah orang paling bijak ketika ini. Mereka menyokong kerajaan dan sebagai balasan, mereka mendapat manfaat. Banyak bantuan diberikan kepada mereka. Orang Cina tewas dari segi bantuan kerajaan kerana keangkuhan mereka sendiri."

Yeah juga bersetuju pergaduhan kaum tidak akan berlaku selagi kadar pengangguran kekal rendah.

"Rakyat lebih susah ketika kelembapan ekonomi berlaku kerana persaingan mendapat pekerjaan meningkat dan kos sara hidup lebih tinggi.

"Ini mungkin memberi sedikit kesan kepada hubungan antara kaum, tetapi rakyat tidak akan menjadi ganas."

Beliau berkata, tidak ada kebencian antara kaum di peringkat komuniti, namun memberi amaran polarisasi mungkin berlaku jika ahli politik memainkan isu perkauman dalam kempen pilihan raya umum akan datang.

"Kita mungkin dapat lihat banyak penghinaan kaum yang boleh merosakkan hubungan antara kaum di negara ini," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...