TERKINI :

Friday, December 9, 2016

Pemuda UMNO Kedah Gesa Pemuda PAS Kedah "Cermin" Diri Sendiri

ALOR SETAR - Pemuda PAS Kedah diminta supaya bermuhasabah diri dan lihat pada "cermin" terlebih dahulu sebelum mendakwa UMNO Kedah "takut" kepada penubuhan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, PAS sebelum ini pernah melalui keadaan yang sama seperti UMNO sehingga lahir parti serpihan, Parti Amanah Negara (PAN) yang saban hari dikecam para pemimpin PAS.

Sebaliknya, beliau meminta Pemuda PAS menjelaskan pendirian parti itu terhadap PAN ekoran pelbagai serangan telah dibuat parti Islam itu yang tidak putus-putus menghentam kepimpinan parti serpihan PAS itu dengan pelbagai label seperti "pengkhinat parti", "syaitan dalam jemaah" dan sebagainya.

"Macam PAS juga sebelum ni yang hadapi masalah dalaman hingga lahir PAN. PAS kata PAN khianat pada perjuangan parti sebab gilakan kuasa dan jawatan, bukan?

"Jadi hampir sama jugalah apa yang berlaku dalam UMNO di mana wujud golongan yang lebih pentingkan kuasa dan jawatan berbanding perjuangan parti. Lebih kurang sama saja...

"Jika PAS terkesan dengan PAN, maka UMNO juga mungkin terkesan sedikit sebanyak dengan PPBM. Tapi jika PAS rasa tak terkesan dengan PAN, apatah lagi kami yang sebenarnya memang tidak terkesan dengan 'Bunga Raya' itu," katanya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.

Pemuda PAS semalam mendakwa UMNO Kedah cuba menyembunyikan masalah dalaman mereka dengan mengambil pendekatan menyerang kepimpinan PPBM khususnya di Perhimpunan Agung UMNO 2016, baru-baru ini.

Tegas Shaiful Hazizy, UMNO  sudah menjelaskan bahawa kesan pada kewujudan PPBM di Kedah adalah terkawal, tidak menjejaskan keutuhan parti dan UMNO Kedah sedang bersiap-siaga memperkemas jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Justeru itu, beliau menggesa supaya Pemuda PAS Kedah supaya melakukan tindakan yang sama bagi memastikan PAN tidak "mencuri" ahli atau mana-mana kerusi milik parti itu pada PRU ke-14 nanti.

Katanya, Pemuda PAS sepatutnya menghayati pendekatan politik matang dan sejahtera yang kini dipraktikkan kepimpinan PAS di peringkat pusat yang memperlihat kematangan di antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang sanggup sepentas dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, membina kesatuan ummah.

Shaiful Hazizy berkata, pendekatan seperti itu lebih dianjurkan oleh Islam berbanding mencari alasan untuk bercakaran sesama umat Islam hanya kerana kuasa politik dan jawatan yang menjadi idaman PPBM dan PAN. -Kedahnews.com

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...