TERKINI :

Monday, December 5, 2016

Pas-Umno tak akan bergabung


Nasrudin.

SHAH ALAM - Pas sama sekali tidak akan bergabung dengan Umno, mahupun menyertai BN, namun bersedia bekerjasama demi kepentingan umat Islam.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan yang mengingatkan kembali keputusan dimuktamad Majlis Syura Ulamak sebelum ini.

"Isu paling popular musim ini ialah apakah Pas akan menyertai Umno? Sementelah Perhimpunan Agung Umno 2016 turut menggamit perha-tian rakyat mengenai isu ini.

"Apakah Pas akan bergabung dengan Umno? Apakah Pas mahu menyertai Umno? Adakah Pas boleh bekerjasama dengan Umno?," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Tegas Nasrudin, perkataan bergabung, menyertai, kerjasama dan sebagainya mesti diperjelaskan kepada umum, menepati sikap politik semasa serta dakwah didukung  Pas.

"Jelas ada perbezaan perkataan bergabung dan menyertai, berbanding perkataan kerjasama yang diguna Pas.

"Tentu sahaja bergabung dan menyertai adalah dua perkataan yang memberi maksud Pas menjadi salah satu parti komponen BN.

"Pastinya keadaan sedemikian tidak boleh berlaku dan ia adalah polisi yang telah ditetapkan oleh Pas melalui penegasan Majlis Syura Ulamak bahawa parti tidak akan bergabung dengan Umno dan menyertai BN," katanya.

Katanya, kerjasama  dimaksudkan adalah keterbukaan Pas berbincang, duduk semeja, berunding dan menganjurkan aktiviti atau tindakan bersama dalam apa juga isu melibatkan kepentingan Islam, bangsa serta negara.

"Meskipun berbeza fahaman politik, namun atas nama kepentingan Islam, bangsa, rakyat dan negara, maka perbezaan itu boleh diketepikan sementara untuk menemukan titik persamaan yang memulangkan keuntungan kepada Islam dan masa depan negara," katanya.

Menurutnya, Pas dan Umno tidak perlu bergabung supaya politik Malaysia subur dengan check and balance (semak dan imbang).

"Pas akan terus beri kritikan dan teguran membina kepada kerajaan diterajui Umno agar tidak menyeleweng, rasuah dan menindas rakyat.

"Pas juga akan terus konsisten menentang kezaliman. Tiada kompromi. Inilah politik Pas," katanya.

Namun kata Nasrudin, tidak bermakna Pas dan Umno mesti terus bercakaran dalam semua perkara sehingga merugikan Islam dan umat.

"Sehingga timbul sifat benci membenci sesama umat Islam, berkelahi jiran tetangga kerana berlainan parti, bertelagah suami isteri kerana bendera berbeza. Situasi begini tidak menyuburkan dakwah Pas," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...