TERKINI :

Wednesday, December 21, 2016

Pas tidak rancang wujudkan kerajaan campuran

Idris Ahmad

SHAH ALAM - Pas menegaskan bahawa parti Islam itu masih berada di pihak pembangkang dan tidak akan bekerjasama dengan Umno bagi mewujudkan kerajaan campuran selepas PRU14 nanti.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, sehingga kini tiada sebarang perbincangan berhubung kerjasama diadakan dengan Umno memandangkan Pas kini komited bagi bersama dengan blok ketiga Gagasan Sejahtera.

“Saya menolak dakwaan mengenai kerjasama tersebut memandangkan Pas kini komited bersama dengan Gagasan Sejahtera bagi menumbangkan Umno-BN pada PRU14 akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, ketua kepada sebuah NGO Melayu Islam mendakwa bahawa Pas dan Umno berkemungkinan akan berkerjasama bagi mewujudkan kerajaan campuran pada PRU14 akan datang.

Menyentuh mengenai perkara tersebut, Idris memaklumkan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak berasas memandangkan Ibrahim bukan merupakan sebahagian daripada parti Pas mahupun Umno.

“Sebelum dia nak cakap begitu, dia kena tentukan dulu dia dari parti mana,” katanya.

Dalam pada itu, Idris memaklumkan bahawa Pas akan menyokong Umno sekiranya mereka membawa perkara atau isu-isu yang membawa kebaikan kepada rakyat di negara ini.

Namun begitu, Idris menjelaskan bahawa Pas juga turut lantang menentang tindakan parti Melayu itu yang membebankan rakyat khususnya dalam isu cukai barang dan perkhidmatan (GST), perjanjian Perkongsian Trans - Pasifik (TPP), Rm2.6 bilion dan sebagainya.

“Apa yang membawa kebaikan kepada rakyat kita sokong namun apa yang membebankan rakyat kita akan lawan.

“Dan saya ingin jelaskan di sini yang tiada sebarang kerjasama lagi antara kedua pihak sehingga kini,” katanya

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...