TERKINI :

Thursday, December 29, 2016

PAS sasar 100 ribu ahli dalam tempoh 4 bulan

Faiz Zainudin/FMT


KUALA LUMPUR: PAS menyasarkan lebih 100,000 ahli baru sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata bagi merealisasikan jumlah tersebut, ia melancarkan kempen “PAS Pilihanku” bermula 1 Januari hingga 15 April 2017.

“PAS akan melancarkan kempen ‘PAS Pilihanku’ bermula 1 Januari hingga 15 April 2017 bagi menggalakkan semua kawasan menambahkan keahlian dan ia akan dibuat dalam bentuk pertandingan.

“Kempen akan dilancarkan bermula 1 Januari di peringkat negeri sebelum dirasmikan presiden PAS pada 22 Januari di Shah Alam. Jumlah sasaran sepanjang tempoh kempen ialah 131,226 ahli baru, 15% daripada jumlah secara keseluruhan ahli parti,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Menurut beliau, langkah ini diambil berdasarkan kecenderungan yang tinggi di kalangan masyarakat terhadap parti Islam itu.

Katanya, Kedah, Kelantan dan Selangor antara 3 negeri yang disasar untuk meningkatkan jumlah ahli tertinggi.

“Sasaran minima akan ditetapkan di setiap negeri iaitu 15% dan jumlah ahli yang kita sasarkan paling tinggi ialah Kedah (25,808), ke-2 Kelantan (18,255) dan ke-3 Selangor (15,659). Kami yakin akan capai sasaran itu,” katanya.

Beliau turut menafikan berasa terancam dengan penubuhan Amanah sehingga melancarkan kempen penambahan ahli.

“Bukan sebab ancaman tapi sebab permintaan. Kita tengok ada permintaan tinggi. Kalau ada ancaman atau berasa tidak selamat, kita tidak akan letak sasaran,” katanya.

Sehingga November lepas, PAS mempunyai jumlah 874,838 ahli selepas mengemaskini data mereka.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...