TERKINI :

Tuesday, December 20, 2016

PAS perlu kekal sendiri, gabung Umno lepas PRU14


PAS perlu kekal dengan kedudukannya sekarang iaitu tidak bekerjasama dengan Umno mahu pun Pakatan Harapan (HARAPAN) sehingga pilihan raya umum (PRU) ke 14 akan datang, kata Datuk Ibrahim Ali.

Sebaliknya, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu berkata, PAS perlu bekerjasama dan membentuk kerajaan campuran dengan Umno.

Kata Ibrahim, ini kerana PAS mampu menjadi pengimbang kepada kerajaan untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

"Saya lebih suka PAS tidak bergabung dengan PH (HARAPAN) mahu pun Umno. Saya lihat strategi PAS dia tak akan kerjasama dengan Umno...saya tahu, saya dah sembang dan jumpa dengan orang PAS, Mustafa Ali pun ada datang ke pejabat saya.

"Tapi, ini teori saya di mana pada pilihan raya akan datang PAS akan kata ya untuk kita (Umno-PAS) tubuh kerajaan campuran.

"Sebab itu saya kata PAS perlu berada di kedudukan sekarang kerana dia boleh jadi pengimbang di mana ada dua parti dalam kerajaan pemerintah nanti.

"Barulah ada semak dan seimbang (check and balance)," kata Ibrahim dalam wawancara bersama Malaysiakini dan sebuah portal berita tempatan di ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan PAS mengadakan kerjasama dengan Umno.

Pada 15 Disember lalu, Malaysiakinimelaporkan pandangan bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, yang meramalkan parti berkenaan hanya ada dua pilihan untuk selamat menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kata Mahfuz, PAS dan Umno perlu mengelak bertembung sesama sendiri sebagai strategi politik dan mengelak peralihan undi di kalangan penyokong mereka.

Kata anggota Parlimen Pokok Sena itu, PAS dan Umno merangka strategi yang betul untuk memanfaatkan keadaan semasa.

Kata Mahfuz pertembungan tiga penjuru yang melibatkan Umno, PAS dan pembangkang lain secara umumnya akan merugikan kedua-dua parti.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga bekas anggota parlimen Pasir Mas itu berkata, dalam pembentukan kerajaan campuran itu nanti Umno boleh jadi perdana menteri manakala PAS sebagai timbalan perdana menteri.

"Bila PAS kata ya kita tubuh kerajaan campuran perdana menteri Umno, timbalan perdana menteri PAS. Itu boleh berlaku," kata Ibrahim.

Kata Ibrahim lagi, PAS perlu jadi pengimbang kepada kerajaan bagi mengelakkan Umno terus menjadi sombong.

"Saya suka kerajaan campuran (PAS-Umno) sebab ini melibatkan masa depan supaya jangan ada parti yang besar kepala lagi," kata Ibrahim.

Untuk makluman, krisis dalam PAS dan Umno menerbitkan dua parti baru, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berpotensi memberi kesan pada jumlah undian masing-masing pada pilihan raya.

Justeru, katanya, PAS mesti memilih untuk berpihak kepada pembangkang lain, atau memilih 'berbaik-baik' Umno.

Jika PAS menolak kerjasama dengan pembangkang, parti itu mungkin kehilangan undi daripada bekas penyokong mereka yang kini beralih ke AMANAH.

Umno pula, katanya, berdepan risiko kehilangan undi penyokong parti itu dengan munculnya BERSATU.

Ketika BERSATU sudah menandatangani persefahaman dengan Pakatan Harapan, PAS masih menjarakkan diri dengan pembangkang lain kecuali PKR dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

PAS juga menyatakan beberapa syarat untuk parti itu bekerjasama dengan pembangkang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...