TERKINI :

Tuesday, December 20, 2016

Notis tuntutan PAS hanya gimik politik

FMT Reporters

PETALING JAYA : Keputusan PAS menghantar notis tuntutan kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown bagi menuntut penarikan balik artikel yang mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada Datuk Seri Najib Razak merupakan gimik politik.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata Majlis Syura PAS perlu memikirkan semula tindakan berkenaan dan memberitahu ahli parti Islam itu mengenai implikasi terhadap ancaman untuk menyaman Clare.

Menerusi artikel terbaru di blognya hari ini, Zaid berkata saman fitnah yang dibuat PAS itu akan membuka semua jenis pendedahan yang memalukan.

Malah, katanya ramai ahli PAS yang tidak sedar saman difailkan di London itu akan membabitkan wang RM1.5 juta bagi kos guaman dan rakyat nanti akan bertanya dari mana wang sebanyak itu diperoleh.

Beliau berkata jika PAS meneruskan prosiding undang-undang, Clare akan sepina perdana menteri dan tindakan itu akan menjejaskan persahabatan PAS dan Umno yang “intim” kini.

“Mereka yang menasihati parti itu untuk menyaman Sarawak Report mengambil sikap yang mudah dan tidak cerdik.

“Walaupun ada wang, mereka sepatutnya tidak mahu memalukan perdana menteri dengan mengambil tindakan ini,” katanya.

Jumaat lalu, PAS menyenaraikan 3 tuntutan terhadap portal berita Sarawak Report dalam surat rasmi berhubung laporan yang mengaitkan parti itu menerima “imbuhan” RM90 juta daripada Umno.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata surat tuntutan itu diserahkan pada 13 Disember lalu kepada Clare yang beralamat di London.

Notis tuntutan itu mendesak Sarawak Report membuang artikel berkenaan daripada laman webnya, menyiarkan permohonan maaf atau penarikan segala tuduhan mengikut terma yang akan dipersetujui PAS serta portal itu perlu berjanji tidak akan menyiarkan dakwaan palsu pada masa akan datang.

Zaid yang juga seorang peguam berkata apa yang lebih menarik ialah mengapa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dinamakan sebagai plaintif sedangkan namanya tidak disebut dalam laporan Sarawak Report.

“Adakah ini satu percubaan untuk memalu dan meminggirkan Hadi menjelang pemilihan parti tahun depan,” katanya.

Katanya, sepanjang terlibat dalam dunia undang-undang, beliau tidak pernah melihat parti politik pernah berjaya dalam kes saman fitnah di England.

“Saya berharap PAS akan menerima nasihat percuma ini dan segera menggugurkan gimik politik itu serta menyimpan wang untuk Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...