TERKINI :

Tuesday, December 13, 2016

Najib kini tak berani bersemuka Dr M, dakwa Kadir Jasin

Bekas ketua pengarang Kumpulan NST, Datuk Abdul Kadir Jasin yang baru-baru ini dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini sekali lagi menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kali ini, dengan memetik tulisan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang popular dengan panggilan Zam, Kadir berkata, Najib kini tidak lagi berani untuk bersemuka dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

"Najib bukan sahaja takut berbahas dengan Dr Mahathir seperti dibuktikan oleh pembatalan kehadirannya di forum “Nothing2Hide” 4 Jun tahun lalu, malah bersemuka atau berada dalam majlis yang sama pun dia tidak berani lagi.

"Jadi apabila baru-baru ini Zam menulis mengenai soal siapa yang akan “kesipuan” (embarass) kalau Dr Mahathir dibenarkan menghadiri istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru dan timbalan baginda di Istana Negara pada 13 Disember ini, pengertiannya amat dalam.

"Antara lain Zam menulis dalam blognya: “Kita dapat menjangkakan apa yang akan berlaku sekiranya Tun hadir di upacara itu iaitu pastinya tetamu kehormat yang berperadaban akan menumpu kepada Tun untuk berjabat tangan atau mencium tangannya sebelum atau selepas upacara.

“Ini akan meletakkan pemimpin Barisan Nasional terutama Perdana Menteri dan Menteri-Menteri berada dalam keadaan serba salah atau kesipuan," kata Kadir dalam catatan terbaru dalam blognya.

Kadir berkata demikian sebagai merujuk kepada surat pembatalan undangan ke atas Mahathir dan isteri ke istiadat menandatangani sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur pada esok hari.

Pada masa yang sama, Kadir turut menyentuh mengenai kelemahan media propaganda Barisan Nasional (BN) hari ini ekoran kejatuhan berterusan jumlah pengedaran akhbar dan penontonan stesen TV arus perdana.

"Jentera dan saluran propaganda Umno, BN dan kerajaan menjadi semakin lemah dan tidak berwibawa akibat kejatuhan berterusan pengedaran akhbar dan penontonan stesen TV arus perdana.

"Masalah perniagaan dan kongkongan profesionalisme menyebabkan ramai wartawan kanan yang berwibawa meninggalkan media arus perdana. Sebahagian mereka menyertai media atas talian dan media sosial.

"Yang masih tinggal dalam MAP (media arus perdana) milik parti-parti BN adalah mereka yang makan gaji untuk menjaga anak, bini dan suami," ujar Kadir lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...