TERKINI :

Tuesday, December 6, 2016

MCA - Apa nasib orang bukan Islam jual arak kepada orang Islam?

FMT / Sean Augustin

PETALING JAYA: Barisan Nasional perlu menyatakan secara jelas sama ada pegawai penguatkuasa syariah boleh menangkap dan menahan orang bukan Islam sebelum bersetuju untuk meminda Akta 355.

Jurucakap MCA Ti Lian Ker menyoal apa nasib yang bakal menimpa orang bukan Islam yang menjual alkohol kepada orang Islam.

"Apakah dia akan disaman?

"Bagaimana pula dengan lelaki Islam yang dicekup berkhalwat dengan wanita bukan Islam? Apa nasib wanita itu?"

Lian Ker, yang merupakan pengerusi biro keharmonian agama parti, berkata perdana menteri cuba menyakinkan orang bukan Islam yang pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1964 tidak akan dikenakan ke atas orang bukan Islam dan tidak akan memberi kesan kepada mereka.

"Jadi boleh kita katakan undang-undang syariah tidak boleh digunakan ke atas orang bukan Islam sekiranya mereka terbabit dalam kesalahan, sama ada sebagai mangsa atau pelaku?"

Mengikut pindaan yang dicadangkan itu, hukuman bagi kesalahan seperti zina, mabuk dan qazaf akan ditingkatkan.

Ini termasuk hukuman maksimum 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 rotan.

Hukuman mahkamah syariah ketika ini dihadkan kepada tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan rotan tidak melebihi 6 sebatan.

Lian Ker berkata BN dan kumpulan yang mendesak pindaan akta itu perlu tentukan sama ada orang bukan Islam boleh dipanggil sebagai saksi.

"Sekiranya orang Islam dituduh minum arak, adakah orang yang menjual arak kepada tertuduh dipanggil sebagai saksi? Bolehkah? Ini perlu dinyatakan."

Lian Ker berkata banyak isu teknikal dan undang-undang yang perlu diselesaikan sebelum masyarakat bukan Islam dapat diyakinkan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...