TERKINI :

Wednesday, December 21, 2016

Kuala Ketil - Tolonglah kurang sewa kios...’

‘Tolonglah kurang sewa kios...’

KUALA KETIL - Peniaga memohon bayaran sewa 10 kios di jalan Merbau Pulas dikurangkan, termasuk memansuhkan caj Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan kepada mereka.

Wakil peniaga, Norlia Hamzah berkata, setiap unit kios disewa dengan harga RM250 dan dikenakan caj GST berjumlah RM15 setiap bulan.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, bayaran RM265 sememangnya membebankan peniaga. Kami terpaksa setuju menyewa sebab tiada tempat untuk menjalankan perniagaan.

“Kadar sewa termasuk caj GST itu dilihat tidak berpatutan memandangkan beberapa kemudahan tidak disediakan dengan sempurna. Salah satunya tiada surau, kipas dan lampu kios juga ada yang rosak sebelum ini termasuk masalah perparitan,” katanya, semalam.

Tambah Norlia, difahamkan lapan daripada 10 kios sudah memulakan operasi sejak dibuka awal tahun ini.

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.600517!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_700/image.jpg
Menurutnya, sebagai langkah awal, surat rayuan mengurangkan kadar sewa sudah dihantar kepada pihak berkaitan pada 7 Disember lalu.

“Setakat ini kami baru hantar surat rayuan bagi mengurangkan kadar sewa daripada RM250 kepada RM150, tetapi setakat ini belum ada sebarang jawapan. Bagaimanapun, surat permohonan mansuh GST belum dihantar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Nor Hayati Derani berkata, caj GST tidak sewajarnya dikenakan memandangkan peniaga juga menanggung kos sara hidup yang tinggi.

Menurutnya, peniaga yang memperoleh keuntungan kecil akan lebih merasai bebanan akibat caj GST tersebut.

“Ada peniaga di sini pelanggan kurang, jumlah RM265 itu sepatutnya dikurangkan dan GST tidak perlu dikenakan.

“Bayaran itu agak tinggi jika dibandingkan dengan kios yang disewa. Setiap kios juga tidak disediakan kerusi atau meja, peniaga terpaksa beli guna duit sendiri,” katanya.

Bagi Roshidah Idris pula, dengan pendapatan tidak menentu, dia cukup terbeban apabila terpaksa menanggung kos GST.

“Pendapatan hasil perniagaan setiap bulan hanya cukup untuk bayar gaji dua pekerja dan beli barangan niaga.

“Harap GST dimansuhkan dan kadar sewa dikurangkan. Duit RM15 itu nanti dapat juga dijimatkan untuk bayar bil air dan api,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...