TERKINI :

Sunday, December 18, 2016

Kenyataan Jamil Khir bukti konspirasi dengan PAS, kata MCA

Robin Augustin / FMT

PETALING JAYA: Cara rang undang-undang Syariah kontroversi dibentangkan adalah bukti berlakunya konspirasi politik agar ia diluluskan, kata MCA.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker merujuk kepada komen Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Jamil Khir Bahrom yang dipetik portal berita, kerajaan berhadapan kesukaran membentangkan rang undang-undang itu sendiri kerana memerlukan sokongaan 14 negeri.

Justeru, ia dibentangkan sebagai rang undang-undang persendirian oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Anda tidak boleh membawanya ke Persidangan Raja-Raja jika tidak mempunyai kata sepakat daripada 14 negeri, tetapi rang undang-undang persendirian memerlukan hanya satu negeri atau seorang untuk membentangkannya,” Jamil dipetik berkata dalam Malaysiakini.

Susulan itu, Ti memberitahu FMT yang kenyataan Jamil adalah bukti konspirasi politik untuk memintas hak negeri dan Majlis Raja-Raja.

“Ini ‘konspirasi politik’ yang merupakan pengkhianatan semangat konsesus Barisan Nasional (BN) dan tidak menghormati 14 negeri dan Raja-Raja Melayu yang tidak diambil pandangan mereka,” kata Ti.

Ti juga menolak kenyataan seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Maslan yang parti komponen BN tidak boleh membantah cadangan pindaan rang undang-undang persendirian apabila ia diambil alih kerajaan persekutuan.

Ahmad, dalam laporan berasingan Malaysiakini berkata parti komponen BN terpaksa menyokong rang undang-undang itu sebagai sebahagian keputusan pemerintah, yang sebelum ini ditolak parti komponen kerana ia dibentang pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, Ti berkata mana-mana rang undang-undang masih perlu dibincangkan dan dipersetujui BN, tidak kira sama ada ia rang undang-undang yang diambil alih atau dibentangkan kerajaan.

“BN masih parti, jadi kita tidak boleh meminggirkan semangat membuat keputusan berdasarkan kata sepakat.”

“Selain itu, perbezaan pendapat kami tentang rang undang-undang itu bukan kerana ia dibentangkan Hadi, tetapi kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Rang undang-undang Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah menjadi isu kontroversi sejak kebelakangan ini. Usul meminda akta itu akan dibahaskan pada sesi Dewan Rakyat akan datang, Mac tahun depan.

Selepas bacaan pertama selesai, kerajaan akan mengambilnya sebagai rang undang-undang ke-2 dan Jamil, yang juga menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam akan membacanya sebagai rang undang-undang kerajaan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...