TERKINI :

Saturday, December 24, 2016

KEGIATAN PELACURAN DI KUALA LUMPUR SANGAT TINGGI, APA TINDAKAN KETUA PEMUDA UMNO WILAYAH

KENYATAAN MEDIA

24 Disember 2016

KEGIATAN PELACURAN DI KUALA LUMPUR SANGAT TINGGI, APA TINDAKAN KETUA PEMUDA UMNO WILAYAH

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohamad Razlan Mohamad Rafii dinasihatkan supaya tidak mencampuri urusan negeri Selangor sebaliknya fokus kepada isu-isu yang menekan rakyat khususnya di Kuala Lumpur seperti harga caj parking yang naik mendadak. Beliau yang mempersoalkan tindakan merobohkan resort milik Ketua Umno Sungai Besar Dato' Seri Jamal Md Yunos di Sekinchan, Selangor semalam berbanding premis judi dan rumah pelacuran haram di sekitar Selangor, adalah sesuatu yang dangkal.

Tindakan Majlis Daerah Sabak Bernam(MDSB) menyita dan merobohkan beberapa struktur dari Sekin Fishermen Village Hotel & Resort milik Dato' Seri Jamal Md Yunos dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan resort itu menjalankan aktiviti tanpa lesen.

Menurut Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman berkata, perintah penutupan itu mengikut  UUK38 Undang-Undang Kecil Hotel (Majlis Daerah Sabak Bernam) 2013 berikutan resort ini beroperasi tanpa lesen yang sah. Sebelum ini MDSB telah beberapa kali mengeluarkan notis tetapi tidak dipatuhi pemilik resort berkenaan. Tindakan kompaun juga telah dibuat beberapa kali namun pemilik tetap berdegil dan meneruskan operasi.

Keengganan pemilik untuk mendapatkan sijil pengesahan penyiapan dan pematuhan (CCC) dari arkitek berdaftar dan bertauliah walaupun sudah beberapa kali dicadangkan oleh pihak MDSB menjadi faktor kepada tindakan sita berkenaan. Notis kesalahan yang dikeluarkan adalah bagi kesalahan menduduki bangunan tanpa perakuan siap dan pematuhan dibawah seksyen 70(27)(f) akta 133 apabila disabitkan boleh didenda sehingga rm250,000.00 atau penjara kepada pemilik telah dikeluarkan pada 8 disember yang lalu.

Tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam meroboh 11 struktur deretan bangunan terbengkalai yang dibina sejak 2011 bersebelahan Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, memandangkan kawasan tanah itu merupakan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Khairuddin Md Som berkata, operasi perobohan itu dibuat di kawasan rizab JPS iaitu kira-kira 20.1 meter dari pantai, selain di luar kawasan tanah hak milik pemilik resort. Beliau menjelaskan, tindakan merobohkan bangunan kekal itu dibuat mengikut Seksyen 425 dan 426A (1)(c) Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

Justeru itu Ketua Pemuda Umno Wilayah, Mohamad Razlan Mohamad Rafii tidak perlulah mencampuri urusan kerajaan negeri Selangor sebaliknya tanganilah dahulu kegiatan pelacuran yang semakin tinggi dicatat di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Pada 27 Ogos 2016, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendedahkan, Kuala Lumpur kini berada di ranking kelapan kota pelacuran dunia dengan nisbah 52 orang pelacur bagi setiap 10,000 penduduk. Secara nisbah juga, Kuala Lumpur di ranking lebih tinggi berbanding Thailand yang kini berada di tangga ke-10 dengan nisbah 45 orang pelacur setiap 10,000 penduduk.

Apakah tindakan Ketua Pemuda Umno Wilayah dalam usaha menangani masalah pelacuran dan lambakan rumah-rumah urut di Kuala Lumpur?.

Justeru itu saya sarankan Sdr. Mohamad Razlan supaya beri tumpuan kepada isu-isu yang menekan rakyat di wilayah persekutuan dahulu sebelum perhatian diberikan kepada negeri lain. Janganlah jadi seperti ketam mengajar anak berjalan lurus tapi diri sendiri berjalan senget. Beri tumpuan kepada usaha menangani masalah pelacuran di Kuala Lumpur dahulu sebelum menegur negeri lain.

Sekian,

SYED BADLI SHAH SYED OSMAN
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...