TERKINI :

Wednesday, December 21, 2016

Hadi pertahan tindakannya kunjungi Iran

 Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pendiriannya bahawa Iran tidak membuat kenyataan mengeksport revolusi Islam Syiahnya, sebaliknya Iran hanya mengajak negara Arab yang berjiran bersatu menentang Israel dan membebaskan diri mereka daripada kuasa asing.

Justeru Abdul Hadi mempersoalkan mengapa mazhab Syiah di dalam masyarakat Sunni yang sudah wujud lebih daripada seribu tahun itu tidak pernah menghalang kemajuan Islam di seluruh pelosok dunia, tiba-tiba kini ujarnya, ditiupkan api permusuhan untuk menumpahkan darah dalam umat yang satu kiblatnya?

"Dahulunya berkhilaf secara ilmu sahaja tanpa berpisah dalam satu umat, tiba-tiba sekarang dianggap seperti agama yang berbeza.

"Pas adalah Melayu Islam yang tidak mudah lupa. Ketika berlakunya Perang Teluk yang pertama 1980, apabila Saddam Husain menyerang Iran dengan bantuan negara Barat dan Negara-Negara Arab, Pas menyokong Iran, lalu kami dituduh sudah menjadi Syiah.

"Selepasnya Saddam berpaling tadah menyerang Kuwait, negara-negara Arab menjemput bala tentera Amerika dan sekutunya menyerang Iraq.

"Pas menentang jemputan yang haram itu dan berpihak kepada menentang campur tangan asing bersama semua Parti Islam, bukan kerana sudah masuk Parti Baath bersama Saddam.

"Sebabnya ialah kami membaca politik di lapangan antarabangsa, bukan hanya membaca kitab dan media sosial di atas meja dalam bilik yang sempit."ujarnya dalam kenyataan yang disiarkan Harakah Daily hari ini.

Abdul Hadi dikecam oleh beberapa pihak sejak dua hari lalu ekoran kunjungannya ke Tehran untuk menyertai persidangan anjuran kerajaan negara berkenaan.

Setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipetik berkata, kenyataan mendakwa pemergian presiden Pas itu antara lain adalah atas permintaan wakil Ittihad Ulama Muslimin Iran, Dr Abdurrahman Bayraan.

Abdurrahman, adalah tokoh Sunni dan dilantik Dr Yusuf al -Qaradawi selaku Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Kuis).

Bagaimanapun Yusuf dalam satu kenyataan menempelak tindakan Abdul Hadi yang juga Naib Presiden Kuis kerana lawatan itu dilakukan ketika mazhab Syiah dan Sunni berperang dan dianggap ziarah itu tidak boleh diterima dikalangan pimpinan Kuis.

Tambah Dr Ahmad Samsuri lagi, kehadiran Abdul Hadi itu supaya beliau dapat membawa suara kelompok Sunni yang berada di Iran bagi mengurangkan sedikit tekanan terhadap mereka di negara berkenaan.

"Beliau juga memaklumkan pemergian beliau kepada Setiausaha Agung Ittihad Alami (nama Arab untuk Kuis) iaitu Prof Dr Ali Qaradaghi yang datang ke Kuala Lumpur bulan lalu, dengan hujah di atas.

"Jadi tidak timbul ianya bercanggah dengan pandangan Syeikh Dr Yusuf Qardhawi," kata Ahmad Samsuri.

Dalam konflik berpanjangan di Syria, Iran dianggap satu daripada negara yang menyumbang serta menyokong Presiden Bashar al-Assad menentang pemberontak di negara berkenaan.

Rejim Bashar baru saja kembali menguasai Aleppo selepas wilayah itu dikuasai kumpulan pemberontak sejak perang saudara meletus.

Ketika kerajaan Syria dianggap mewakili puak Syiah, pemberontak pula terdiri daripada kalangan pengikut Sunni menjadikan konflik berkenaan ditafsir sebagai perang antara mazhab.

Satu lagi negara yang menyokong Bashar ialah Russia.

Ikuti teks penuh kenyataan Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang disiarkan di Harakah Daily hari ini: http://www.harakahdaily.net.my/index.php/headline/43626-siapa-di-sebalik-krisis-syria-iraq-dan-lain-lain

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...