TERKINI :

Tuesday, December 6, 2016

Ejen pilihan raya PAS didenda kerana kunci peti undi

FMT | V Anbalagan


PUTRAJAYA: Seorang ejen pilihan raya PAS hari ini didenda RM5,000 kerana mengunci 9 peti undi selepas sesi pengundian awal di kem tentera di Port Dickson pada pilihan raya umum lepas.

Barisan 3 hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki ketika membenarkan rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpendapat ada merit dalam kes itu.

Barisan itu turut menambah denda yang dikenakan terhadap Azahari Ismail seperti yang diminta pendakwararaya.

"Saya berharap perkara ini tidak berlaku lagi," kata Mohtarudin.

Azahari didakwa di bawah Seksyen 3(1)(i) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Peruntukan itu menyatakan mana-mana orang tanpa kuasa yang sewajarnya memusnahkan, mengambil, membuka atau dengan cara lain mengganggu mana-mana peti undi, kertas undi atau bungkusan kertas undi yang digunakan atau dimaksudkan untuk digunakan bagi maksud sesuatu pilihan raya sudah melakukan kesalahan.

Beliau didakwa "campurtangan" kerana mengunci peti undi di kem tentera selepas sesi pengundian pada 30 April 2013.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan penjara 2 tahun atau denda maksimum RM2,000 atau keduanya.

Azahari merupakan ejen kepada calon PAS Ramli Ismail yang bertanding di kerusi DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Kerusi itu dimenangi calon BN Tun Hairudin Abu Bakar dengan majoriti 6,067 undi.

Akibat penguncian itu, seorang ejen pilihan raya Tun Hairudin yang tidak dikenali membuat aduan kepada SPR.

Azahari, diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud, memberitahu barisan hakim pengundian peti undi tidak boleh dianggap sebagai campurtangan.

"Pegawai pilihan raya mengizinkan perbuatan itu secara tersirat kerana beliau tidak membantah peti undi dikunci," katanya.

Timbalan pendakwaraya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir berkata tindakan Azahari merupakan satu bentuk campurtangan dalam proses pengiraan undi.

Sebelum ini Azahari dikenakan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM4,000 oleh majistrest selepas beliau didapati bersalah.

Dalam rayuannya, Mahkamah Tinggi Seremban membebaskan beliau.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...