TERKINI :

Friday, December 2, 2016

Dr M: Melayu Umno, makanlah 'duit haram' ini


Dr M: Melayu Umno, makanlah 'duit haram' ini

Setelah mendapat serangan puitis 'Melayu mudah lupa' dua hari berturut-turut, Dr Mahathir Mohamad ini tampil mengulas isu sama.

Berbeza dengan nada sajak popularnya sebelum ini, beliau hari ini mengecilkan skop Melayu yang dirujuknya kepada “Melayu Umno”.

“Melayu Umno mudah lupa, seperti saya nyatakan dalam perhimpunan agung Umno dahulu.

“Kali ini mereka lupa sayang kepada bangsa, negara dan agama seperti perjuangan Umno di waktu ia ditubuh.

“Yang mereka ingat hanyalah duit itu raja. Dan mereka teruslah menyembah duit,” katanya.

Najib dalam ucapan dasarnya dalam perhimpunan agung Umno semalam menyifatkan tindakan Mahathir sebagai kemuncak penderhakaan, selain mempersoalkan siapa sebenarnya yang mudah lupa.

Najib berkata, Melayu Umno yang sejati adalah Melayu yang setia dan mengenang budi, dan tidak mengkhianati parti.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula sehari sebelum itu membacakan sajak “Melayu Mudah Lupa”, yang dipopularkan Mahathir, tetapi diubah suai untuk menempelak kembali perdana menteri keempat itu.

Menulis di blognya hari ini, Mahathir mendakwa pilihan raya kali ini akan memperlihat “duit-duit yang dicuri” dikongsi bersama oleh mereka yang terus menyokong Najib.

“Dengan perkataan lain ahli Umno yang terus sokong Najib bersubahat dengannya dalam melesapkan duit kerajaan (duit rakyat) berbilion-bilion ringgit.

“Makanlah duit haram ini, duit dari menjual bangsa, agama dan tanah air,” kata Mahathir yang terkenal dengan sindiran tajamnya itu.

Najib menafikan menggunakan wang wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya untuk kepentingan peribadi.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali pula telah membersihkan namanya daripada sebarang salah laku, walaupun langkah ini kemudian diselar pembangkang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...