TERKINI :

Wednesday, December 14, 2016

BERSATU akan runding dengan PAS hingga tahun depan, kata Muhyiddin

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memberikan masa sehingga tahun depan untuk berunding dengan PAS yang sehingga kini masih belum bersetuju untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan pembangkang, kata Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin.

Tempoh itu diperlukan sebelum keputusan dibuat untuk menutup pintu terhadap parti Islam itu, kata Muhyiddin.

"Sentiasa mesti ada tempoh. Tapi, untuk berlaku adil kepada parti itu, kerana (kita baru) mengadakan mesyuarat pertama."

"Kita perlu membenarkan (sehingga) bulan depan ... tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian bersama kerangka kerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau memberitahu rakan-rakan HARAPAN semasa mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu yang diadakan sebelum ini.

Muhyiddin mendedahkan bahawa beliau telah bertemu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man minggu lalu.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata sebelum itu mereka akan membincangkan tarikh akhir yang diberikan kepada PAS sebelum pembangkang menutup pintu kerjasama dengan parti itu.

Salahuddin berpendapat PAS harus dibenarkan sehingga akhir tahun ini untuk menentukan kerjasama dengan parti yang dikehendakinya.

Tuan Ibrahim berkata parti-parti pembangkang yang mahu bekerjasama dengan PAS, tidak boleh bertanding di 70 kerusi PAS.

"Itu syarat compulsory (wajib). Setiap kali kita tanding, PAS korbankan kerusi, ok, enough is enough (Cukup-cukuplah).

"No compromy (Tiada kompromi), kerusi PAS kena hormat, kamu boleh bincang dia boleh bincang, kerusi lain, PAS tak ambil semua kerusi, kita tanding pun 70 kerusi dulu," kata Tuan Ibrahim malam tadi.

Muhyiddin bagaimanapun menolak menjawab soalan yang dibangkitkan dalam sidang akhbar itu, dengan berkata ia bukan platform untuk menjawab kenyataan Tuan Ibrahim.

"Saya tidak fikir ini adalah forum (untuk membinacangkannya) kerana ini adalah kenyataan beliau yang dibuat di luar. Jadi, saya fikir demi kerahsiaan dan formaliti, adalah lebih baik kita berbincang apabila tiba masa yang sesuai bagi kami untuk berbuat demikian," katanya.

Walaupun Tuan Ibrahim menolak tawaran untuk membina hubungan antara PAS, DAP dan AMANAH, Muhyiddin berkata beliau masih bersikap positif.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...