TERKINI :

Friday, December 2, 2016

Berhenti buli kami, Orang Asli beritahu kerajaan PAS Kelantan

Faiz Zainudin

GUA MUSANG: Tidak ramai tahu apa sedang berlaku kepada masyarakat Orang Asli di sini, sehinggalah mereka mula bangkit menyuarakan bantahan terhadap pihak berkuasa susulan pembalakan di kawasan yang diduduki mereka sejak sekian lama.

Kerajaan negeri pimpinan PAS sebelum ini mendakwa protes di kalangan penduduk itu ialah kononnya mereka dihasut pihak tertentu supaya menentang pihak kerajaan.

Malah, semalam seorang pemimpin PAS membidas Siti Kassim, peguam mewakili Orang Asli yang lantang menyuarakan masalah mereka.

“Hal di Kelantan itu digerakkan oleh parti politik, berpakat dengan penentang kelulusan undang-undang Islam seperti Siti Kassim yang memusuhi Kerajaan Kelantan, bukan pencinta alam sekitar, jauh sekali pencinta Orang Asal,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Muhammad Sanusi Mohd Nor.

Bagaimanapun, tinjuan FMT ke kawasan itu mendapati kebanyakan penduduk Orang Asli membantah atas kesedaran sendiri dan kerana sudah serik “diperbodohkan” ahli politik.

Mereka kecewa pihak berkuasa yang membiarkan hutan yang menjadi punca pendapatan mereka seharian “dirogol” oleh tauke balak.

Pengerusi Kampung Pos Tohoi, Ahud Duga berkata tindakan Orang Asli menyekat aktiviti pembalakan adalah semata-mata mendesak kerajaan berhenti daripada terus menggondol tanah adat yang didiami mereka sejak sekian lama.

“Kita bukan penceroboh, ada pihak kata kita nak ceroboh tanah kerajaan, kami ini Orang Asli tinggal sudah lama, kenapa mereka kata kami penceroboh?” katanya kepada FMT.

“Kita bukan menumpang, kami tinggal di sini sudah lama.”

Ahud berkata sehingga kini hampir 80% hasil pencarian Orang Asli sudah musnah.

“Yang terjejas akibat pembalakan, sumber makanan kami, hasil buah-buahan, ikan, malah air yang kami minum sudah berkelodak,” katanya, dan menambah penduduk kini terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan air.

Ekoran kawasan hutan yang semakin lupus, mereka juga kini terpaksa berjalan lebih 30km mencari hasil hutan seperti rotan, yang menurut Ahud kini sukar didapati.

“Kenapa kami masih dipersalahkan? Yang patut disalahkan adalah syarikat balak, mereka kaya raya dan Orang Asli jadi papa kedana, sebab itulah kami menentang,” katanya.

Ayap Uda dari Kampung Pos Hau menyifatkan tindakan ke atas Orang Asli adalah jenayah.

“Kami minta kerajaan Kelantan beri hak kami, beri hak tanah kami, jangan ancam kami, kami bukan minta tanah satu Kelantan, kami bukan minta tanah satu Kuala Lumpur, jadi tolonglah kami, kami bukan nak lawan kerajaan.

“Berhenti buli Orang Asli,” kata Ayap.

“Kami minta satu sahaja, kerajaan iktiraflah kami. Kalau kerajaan iktiraf kami, kami akan hormat kerajaan, kalau tidak kami akan terus memberontak,” katanya.

Sehingga kini, pihak penguatkuasa Jabatan Perhutanan menangkap lebih 50 Orang Asli yang cuba menghalang jalan masuk ke kawasan hutan. Semalam, 47 orang yang ditahan selepas pergelutan dengan pihak berkuasa dibebaskan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...