TERKINI :

Sunday, December 11, 2016

Azmin, AMANAH tak 'lapar' jawatan di S'gor

Perwakilan Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Selangor mengingatkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Azmin Ali bahawa parti itu tidak 'lapar' dengan jawatan dalam kerajaan negeri.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Jamzuri Ardani, apa yang pihaknya mahukan ialah mereka dirai sebagai parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) dan tidak 'ditekan' oleh kerajaan negeri.

Ini kerana, Jamzuri mendakwa, AMANAH Selangor menerima pelbagai halangan dan birokrasi daripada kerajaan negeri sehingga pihaknya sukar untuk mengadakan kuliah di surau serta menggunakan dewan-dewan yang berada di bawah pihak berkuasa tempatan.

"HARAPAN (di) Selangor adalah ibu kepada politik ding dong. Membosankan. Kita nak beritahu kepada menteri besar bahawa AMANAH tak lapar dengan jawatan. Kami tak lapar kedudukan dalam kerajaan.

"Apa yang kami mahu adalah kami dirai sebagai anggota komponen parti kerajaan negeri tanpa tekanan dan birokrasi kerajaan negeri.

"Ketua kampung PAS, ADUN PAS, ahli majlis PAS, exco-exco PAS, itulah yang membantah dan menghalang kita dari kuliah di masjid. Ada ahli majlis yang halang AMANAH dari menggunakan dewan-dewan.

"Sekiranya AMANAH tak menang banyak kerusi, kita bimbang menteri besar lepas pilihan raya umum akan duduk dalam blok pembangkang. Unsur duri dalam daging dalam kerajaan negeri perlu dibuang segera," ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian semasa berucap membahaskan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional AMANAH 2016 di Shah Alam.

Sementara itu, Jamzuri turut meminta agar AMANAH dapat memberi penerangan khususnya pengundi Melayu mengenai DAP dan meyakinkan rakyat bahawa parti berkenaan bukan ancaman kepada Melayu, Islam dan negara.

Katanya, pilihan raya umum akan datang merupakan medan untuk membawa isu perkauman dan parti lawan akan menjadikan DAP sebagai sasaran utama.

"Sasaran utama tentulah DAP kerana isu ini adalah 'soft spot' dalam HARAPAN. Isu inilah yang digunakan secara maksima pada pilihan raya umum ke-13 dan isu ini juga bakal digunakan Umno untuk membunuh Pakatan Rakyat pada ketika itu.

"Dan saya fikir, AMANAH perlu berupaya berhadapan dengan pengundi-pengundi Melayu khususnya, untuk meyakinkan mereka bahawa DAP ini bukan ancaman kepada negara, bukan kepada Melayu dan bukan ancaman kepada Islam di negara kita.

"Ini kita perlu yakin, kita bersikap apologetik dalam menangani isu ini. Kita mesti berhujah di atas fakta dan kebenaran bagi menangkis sebarang sentimen kebencian, prejudis dan prasangka buruk yang disebarkan Umno dan sekutu baru mereka," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, AMANAH tidak akan malu-malu untuk berdepan dengan isu tersebut bagi menangani sentimen kebencian terhadap DAP yang akan terus dimainkan Umno bagi menjauhkan pengundi daripada HARAPAN.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...