TERKINI :

Saturday, December 17, 2016

Asean diminta bincang isu Rohingya secara terbuka


Minderjeet Kaur

KUALA LUMPUR: Mesyuarat tergempar menteri luar Asean minggu depan yang akan membincangkan pembantaian etnik Rohingya diharap bukan sekadar untuk bergambar atau menutup kejadian sebenar, kata ahli Parlimen Klang.

Charles Santiago berharap ia akan membuka jalan kepada reformasi tulen yang akan menghentikan keganasan terhadap etnik Rohingya.

“Desak supaya siasatan dijalankan. Penyiasat perlu dibenarkan melawat kawasan terjejas.

“Sekiranya keganasan terbukti berlaku, para menteri luar Asean perlu mencari jalan untuk mewujudkan satu pasukan bertindak dan menyiasat isu berbangkit.”

Mesyuarat tergempar itu dipanggil Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi untuk membincangkan keadaan di negeri Rakhine.

Santiago berharap ia menjadi peluang untuk membincangkan isu itu secara terbuka.

Katanya mesyuarat itu, yang bakal diadakan di Yangon, suatu perakuan krisis Rohingya merupakan masalah serantau dan berlakunya jenayah kemanusiaan.

Santiago berkata demikian di pameran jurugambar Bangladesh yang terkenal, Saiful Hiq Omi.

Saiful Huq Omi

Pameran itu diadakan di Whitebox di Publika sehingga 22 Disember ini dan memaparkan kesengsaraan hidup masyarakat Rohingya di Myanmar dan pelarian tak berdaftar di Malaysia.

Santiago berharap Rohingya di Malaysia dibenarkan bekerja supaya mereka boleh berdikari.

Sementara itu Saiful merancang untuk membawa pameran itu ke seluruh dunia bagi memupuk kesedaran akan jenayah yang dilakukan terhadap Rohingya.

“Semasa saya mula melawat kem itu 9 tahun lalu, saya terkejut melihat penderitaan mereka.

“Saya tak boleh lupakan penderitaan itu. Saya mahu wujudkan kesedaran akan kezaliman terhadap Rohingya.”

Sekiranya tidak ada langkah diambil untuk menghentikan pemusnahan bangsa itu dalam beberapa bulan lagi, baginya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Asean sudah gagal menghalang pembersihan kaum di sana.

Pada 13 Disember lepas, Human Rights Watch menyiarkan imej satelit yang menunjukkan lebih 1,500 bangunan di Rakhine dibakar sejak 2 bulan lalu.

Gambar itu menunjukkan corak yang mencadangkan tentera Myanmar bertanggungjawab atas pembakaran itu.

Menurut PBB, lebih 30,000 orang, terutamanya Rohingya, tidak mempunyai tempat tinggal manakala 130,000 lagi tidak mendapat bantuan kemanusiaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memimpin tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada 4 Disember lalu, mengecam keganasan terhadap Rohingya dan menggesa negara lain menekan Myanmar supaya menghentikan keganasan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...