TERKINI :

Thursday, December 15, 2016

"BUAT APA TANDING 70 SAJA, TANDINGLAH SEMUA 222 KERUSI"

Hakikat bahawa Pas sebuah parti yang keliru di bawah kepimpinan Hadi Awang sebenarnya tidak dapat disangkal lagi. Ia semakin nyata dan terang-terang di depan mata.

Pas bukan saja keliru mengenai siapa kawan dan siapa lawan, bahkan juga keliru tentang apa yang sebenar dimahukan dalam perjuangannya.

Ketika meletakkan syarat kepada PPBM agar meninggalkan DAP dan Amanah  jika ingin bekerjasama dengannya, Pas terlupa bahawa di Selangor sekarang ini ia sedang duduk semeja dengan kedua-dua parti yang dimusuhinya itu.

Malah, ketika meletakkan syarat itu kepada PPBM, Pas tidak pula pernah bersuara dengan nada yang sama kepada PKR dalam kerajaan negeri Selangor yang sedia diketahui memang menjalin kerjasama dengan DAP dan Amanah.

Lebih dari itu, dalam menyatakan kesediaan menjalin kerjasama dengan PKR secara keseluruhannya pun, tidak pernah Pas meletakkan syarat agar ditinggalkan DAP dan Amanah.

Kenapa hanya dengan PPBM saja diletakkan syarat agar meninggalkan DAP dan Amanah, tetapi tidak kepada PKR?

Jika benar istiqamah dalam menentang DAP yang kononnya anti Islam serta menolak Amanah yang dianggap sebagai parti yang khianat, mengapa tidak dimulakan dengan meninggalkan segala jawatan dan kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor untuk berdiri sebagai blok ketiga yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera?

Tidakkah ini menunjukkan Pas benar-benar sedang keliru?

Dua hari lalu pula, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man meletakkan satu lagi syarat baru, khususnya kepada PPBM,  jika ingin menjalin kerjasama dengan parti itu.

Syaratnya ialah tidak bertanding di 70 kerusi yang ditandingi oleh Pas dalam PRU 13 yang lalu.

Pas meletakkan syarat demikian kerana beranggapan 70 kerusi itu adalah milik mereka, meskipun dalam PRU 13 lalu ia hanya menang 21 kerusi Parlimen saja.

Syarat ini juga menunjukkan Pas sekali lagi keliru.

Bagaimana Pas boleh menganganggap 70 kerusi yang pernah ditandinginya itu sebagai miliknya sedangkan ia hanya menang 21 kerusi saja?

Jika 21 kerusi yang menang itu diminta jangan dikacau, mungkin juga boleh diterima dan difahami, tetapi dengan merasakan kerusi yang kalah juga sebagai hak miliknya, Pas ternyata benar-benar keliru.

Dengan meletakkan syarat syarat kepada PPBM agar 70 kerusi itu jangan dikacau, bermakna Muhyiddin Yassin dengan sendirinya tidak boleh lagi bertanding di Pagoh dan Mukhriz Mahathir yang pernah menjadi Ahli Parlimen Jerlun pada PRU 12 sebelum bertanding di DUN Air Hitam pada PRU 13, turut terpaksa mencari kerusi yang lain jika ingin bertanding lagi kerana semua kerusi itu ditandingi oleh Pas dalam PRU 13 yang lalu?

Maka, ke kerusi mana Muhyiddin dan Mukhriz mahu lari jika ingin memenuhi syarat Pas itu?

Tidakkah ternampak mengarut dan menunjukkan Pas benar-benar keliru dengan tindakannya meletakkan syarat agar 70 kerusi itu jangan diganggu?

Apa sebenarnya yang dimahukan oleh Pas, kekal bertanding di 70 kerusi atau mahu memang lebih daripada 21 kerusi Parlimen?

Apakah Pas tidak sedar bahawa PPBM akan memberi keuntungan kepadanya dari segi kemungkinan memenangi lebih banyak kerusi kerana PPBM akan mencuri undi daripada kalangan ahli-ahli UMNO, meskipun jika bertanding kurang daripada 70 kerusi?

Apa seterusnya?

Jika Pas kekal dengan kekeliruan mengenai apa yang dimahukannya, bukan saja PPBM harus menghentikan rundingan dengan parti itu, malah Pas juga boleh mulai sekarang mengumumkan untuk bertanding di semua 222 kerusi Parlimen.

Alang-alang ingin menjadi "parti kerusi", lebih baiklah bertanding di semua 222 kerusi. Buat apa sekadar 70 saja! (SH 14/12/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...