TERKINI :

Wednesday, December 14, 2016

Anwar gembira HARAPAN, BERSATU bekerjasama

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pembabitan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam kerjasama secara rasmi dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menyifatkan ia sebagai "perkembangan positif" Anwar berkata parti yang terbabit kini harus berusaha mengenal pasti dasar bersama.

"Kita mengalu-alukan dan ia merupakan satu perkembangan positif… Kita perlu bekerjasama dalam mengenal pasti dasar (untuk bekerjasama),” katanya.

Semalam ketiga-tiga parti dalam HARAPAN - PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) - serta BERSATU menandatangani perjanjian bersama untuk memastikan BN ditentang melalui formula satu lawan satu pada pilihan raya umum akan datang.

Empat parti itu turut menandatangani tujuh perkara lain dalam kerangka kerjasama berkenaan.

Mereka juga setuju meneruskan perbincangan dengan parti yang masih belum menandatangani perjanjian tersebut bagi memastikan hanya satu calon mewakili pembangkang bagi menghadapi BN.

PKR diwakili oleh presidennya, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala AMANAH diwakili Mohamad Sabu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani perjanjian itu bagi pihak parti masing-masing.

Keempat-empat parti itu akan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal bersama untuk membincangkan pembahagian kerusi dan manifesto bersama.

Ia dianggap penting kerana membawa kepada pembentukan gabungan pembangkang yang lebih tersusun bagi berdepan BN walaupun kedudukan PAS masih menjadi persoalan.

Lebih daripada itu ia juga menjadi detik baru kepada pembangkang apabila Anwar menerima bekas seteru ketatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di Mahkamah Persekutuan hari ini, Anwar gagal dalam permohonannya supaya sabitan hukuman penjara ke atasnya disemak semula.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...