TERKINI :

Sunday, December 18, 2016

AMK Alor Setar pertahan Anwar


Anwar Ibrahim

ALOR SETAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Setar menempelak kenyataan Ketua Kluster Governas, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood yang mendakwa bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin dilupakan.

Ketuanya, Mohd Aizuddin Ariffin berkata, pandangan itu seolah-olah cuba melenyapkan kehadiran Anwar dalam kancah politik tanah air.

“Saya melihat kenyataan Nik Ahmad ini dizahirkan selepas rayuan semakan kehakiman terhadap kes liwat Anwar ditolak Mahkamah Persekutuan pada 14 Disember lalu. Ini soal kezaliman terhadap Anwar, bermakna rakyat juga tidak terlepas daripada manipulasi ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Perlu realistik, kembali fokus isu rakyat]

“Ini bukan soal Anwar sahaja, tapi prinsip keadilan yang telah gugur. Saya percaya isu ini bukan sahaja relevan pada mana-mana PRU tertentu, malahan akan terus relevan pada bila-bila masa,” katanya.

Menurutnya, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga telah memberi satu impak yang besar dalam memperjuangkan hak-hak rakyat dan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.

“Bagaimana rakyat akan melupakan seorang yang mengorbankan jiwa dan raga beliau untuk membebaskan rakyat dari kezaliman dan penindasan yang sedang berlaku.

“Rakyat juga sedia maklum, Anwar telah dicalonkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Keamanan 2016 (Global Peace Price). Beliau adalah pemangkin kebangkitan rakyat. Isu Anwar adalah isu rakyat,” katanya.

Berikutan itu, satu forum cerdas rakyat akan diadakan di Dewan Kar Har Tong, Kampung Berjaya, di sini, bermula jam 8.30 malam, pada 17 Disember bagi menjelaskan isu-isu semasa.

Antara pimpinan yang dijadualkan hadir ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung serta barisan pimpinan Pakatan Harapan.

Terdahulu, Nik Ahmad menyatakan bahawa Pakatan Harapan perlu realistik dan tidak hanya bersandarkan kekuatan Anwar bagi mendapat sokongan rakyat pada PRU14.

Jelasnya, meskipun Anwar dilihat penting untuk Pakatan Harapan mendapat sokongan dan undi, tetapi faktor itu sahaja tidak menjamin kemenangan pembangkang.

Tambahnya lagi, isu Anwar juga mungkin relevan pada PRU11, 12 dan 13, tetapi ia semakin dilupakan.

Mahkamah Persekutuan pada sebelum ini menolak permohonan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sehubungan itu, Anwar perlu menyambung semula hukuman penjara berbaki 18 bulan di Penjara Sungai Buloh.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...