TERKINI :

Thursday, December 15, 2016

AMANAH tanya: Suara Nik Abduh ada di mana?

'Kehilangan' Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz selepas menghadiri perhimpunan menyokong etnik Rohingya - bersama Datuk Seri Najib Razak - baru-baru ini menimbulkan tanda tanya, kata Faiz Fadzil.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) itu, setakat ini belum nampak sebarang langkah yang diambil bagi menyelesaian konflik kemanusiaan di Myanmar walaupun PAS sebelum ini dikatakan cenderung menasihati kerajaan.

Malah kata Faiz, Nik Abduh yang hadir dan berucap pada perhimpunan berkenaan juga kini "diam seribu bahasa" walaupun tiadak sebarang tindakan diambil kerajaan.

"Sebagai 'penasihat', apakah langkah yang telah diambil bagi menyelesaikan konflik kemanusiaan ini?" katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.

PAS - yang diwakili presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta beberapa pimpinan tertinggi parti itu - hadir di himpunan menyatakan sokongan kepada etnik Rohingya pada 4 Disember lalu.

Himpunan di Stadium Mini Titiwangsa itu turut dihadiri perdana menteri dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan prokerajaan seperti Baju Merah juga hadir.

Bagaimanapun himpunan itu mendapat pelbagai kritikan, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertikaikan kewajaran seorang perdana menteri menyertai demonstrasi.

Naypyidaw pula memanggil duta Malaysia ke negara itu untuk menyampaikan bantahan mereka terhadap Putrajaya.

Bagi Dr Mahathir, demonstrasi hanya wajar dilakukan oleh pihak yang berada di luar kerajaan, manakala pemerintah sepatutnya mengambil langkah lain seperti melalui saluran diplomatik.

Faiz berkata pendirian politik Nik Abduh yang mesra Najib dan hadir menyertai himpunan tersebut juga menimbulkan persoalan apabila beliau "takut menegur" perdana menteri dalam skandal 1MDB.

"Himpunan tersebut kononnya bagi menunjukan keprihatinan Malaysia kepada warga Rohingya (tetapi ia) hanya retorik dan politik sentimen yang cuba dimainkan oleh pihak kerajaan pimpinan Najib.

"Hal itu kerana, walaupun kerajaan turun dalam demontrasi tersebut, tiada tindakan diambil oleh kerajaan sama ada menegur secara rasmi pentadbiran Aung San Suu Kyi atau mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Asean atau PBB menghantar tentera pengaman ke Myanmar," katanya.

Merujuk kepada kemelut melanda syarikat milik kerajaan - 1MDB - itu Faiz berkata hak rakyat dan wang negara perlu dipertahankan kerana skandal berkenaan melibatkan penyelewengan yang mengakibatkan penganiyaan serta kezaliman ke atas rakyat.

Kata anak bekas presiden PAS itu, rakyat kini menanggung kesukaran hidup akibat kenaikan harga barang kesan daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), potongan subsidi pendidikan dan kesihatan selain nilai mata wang yang semakin susut.

"Jika benar (Nik Abduh dan Pemuda PAS) masih berjuang atas nama Islam, jenayah dan kemungkaran pemerintah ini harus ditentang secara zahir," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...