TERKINI :

Wednesday, November 23, 2016

Wan Azizah : RUU355 - Pendirian sebenar hanya boleh ditentukan setelah penjelasan terperinci oleh YB Marang

KENYATAAN MEDIA
PRESIDEN KEADILAN

RANG UNDANG-UNDANG AKTA MAHKAMAH SYARIAH
(BIDANG KUASA JENAYAH) 1965 (AKTA 355)

KEADILAN mengikuti dengan teliti kemungkinan Rang Undang-undang (RUU) 355 akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada hari ini atau esok berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri semalam.

Sehubungan itu, kami ingin menegaskan kembali pendirian yang telah kami keluarkan pada 20 Oktober 2016 seperti yang disisipkan. Pendirian berkenaan diringkaskan seperti berikut:

1.      Sistem perundangan Islam wajar diperkasakan dengan hikmah dan penjelasan teliti kepada rakyat berasaskan matlamat murni Syariah (Maqasid Syariah) iaitu setiap tindakan harus menjurus kepada keamanan dan keadilan.

2.      Pemerkasaan perundangan Islam perlu dilihat dengan lebih menyeluruh atau holistik dan tidak semata-mata kepada perundangan atau hukum. Aspek pentadbiran, pengurusan, penggajian dan bidang kuasa mahkamah syariah perlu juga diberi perhatian.

3.      Kecelaruan kefahaman dan kepelbagaian persepsi masyarakat tentang RUU 355 telah timbul akibat tiadanya maklumat, perbincangan dan muafakat dengan badan-badan Islam dan ulama termasuk dengan masyarakat bukan Islam. Kami tetap memilih jalan muafakat untuk memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin kebebasan beragama bagi bukan Islam.

4.      Sikap sengaja membiarkan isu RUU 355 berlarutan, terapung di Parlimen tanpa sebarang usaha memberikan penjelasan atau menganjurkan perbincangan dengan wakil parti politik dan masyarakat amat mencurigakan malah lebih buruk lagi, memberi imej negatif dan tafsiran mengelirukan terhadap Islam.

5.      Pendirian sebenar hanya boleh ditentukan setelah penjelasan terperinci oleh YB Marang dan lebih utama lagi pendirian dan jaminan Perdana Menteri bahawa hak-hak di bawah Perlembagaan akan dilindungi. Mana-mana pindaan undang-undang sedia ada mesti mematuhi dan memenuhi prinsip-prinsip murni keadilan dan kesaksamaan dalam Islam serta tidak bercanggah dengan teks dan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia.

Justeru, KEADILAN menggesa kerajaan pemerintah dan YB Marang untuk memandang serius pendirian di atas. KEADILAN juga mendesak untuk sebuah Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (Parliament Select Committee) yang terdiri daripada Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam ditubuhkan segera untuk meleraikan kemelut dan mengesyorkan penyelesaian terbaik.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang, Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

23 November 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...