TERKINI :

Sunday, November 13, 2016

Umno zalimi PAS lebih teruk berbanding DAP, kata naib presiden

Faiz Zainudin


PETALING JAYA: PAS dizalimi sewaktu berada dalam gabungan Barisan Nasional (BN) lebih teruk berbanding tekanan DAP semasa dalam Pakatan Rakyat, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Naib Presiden PAS itu kemudian menyenaraikan beberapa pengalaman hitam pimpinan mereka antaranya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan peristiwa Memali 1985.

Lantas, PAS tak mungkin bergabung dengan Umno lantaran serik dengan kekejaman dan penipuan BN.

“PAS banyak tertipu dengan Umno. Ahli kita mati dalam tragedi Memali. Apabila kita berurusan dengan Umno kita amat berhati-hati kerana sebelum ini banyak ahli PAS ditangkap…macam Datuk Burhanuddin al-Helmy yang mati kesan seksaan dalam tahanan ISA.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media seusai himpunan Ledakan Suara Rakyat di Taman Medan, hari ini.

Iskandar mengulas tuduhan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggolongkan PAS dalam kumpulan penyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak mahu bersama pakatan pembangkang.

Beliau merujuk kepada cubaan menangkap tokoh agama Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya) di Memali, Kedah yang meragut 14 nyawa termasuk Ibrahim dan berpuluh lagi cedera.

Ketika itu, Dr Mahathir merupakan perdana menteri.

Sementara Burhanuddin al-Helmy pula merupakan bekas presiden PAS yang ditangkap dibawah ISA pada 1965. Dianggap nasionalis radikal dan pemikir Islam, beliau dituduh berkomplot untuk menggulingkan kerajaan.

“Kita lebih berhati-hati dengan Umno lebih daripada parti lain. DAP dan parti lain tidak terkesan banyak dengan kezaliman Umno. PAS paling teruk dizalimi Umno. Parti-parti lain tak kena macam PAS.

“Jadi tuduhan PAS masuk (gabung) Umno tak masuk akal,” katanya.

Lebih 1,000 orang hadir menyertai Lasak hari ini bagi menyatakan pandangan terhadap Bajet Persekutuan dan Bajet Selangor bagi tahun 2017.

Mengulas himpunan hari ini, Iskandar berkata isi kandungan ucapan-ucapan sepanjang acara menunjukkan banyak percanggahan antara PAS dan BN.

“Akar umbi kita bangkitkan banyak masalah, antaranya isu Uber dan Grab. Selain itu, isu ketakseragaman kontrak artis, cukai barangan dan perkhidmatan…ini semua dasar kerajaan BN,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...