TERKINI :

Wednesday, November 2, 2016

Siasatan terhadap Husni Hanadzlah melanggar Perlembagaan " keistimewaan parlimen"

SIASATAN TERHADAP HUSNI HANADZLAH MELANGGAR PERLEMBAGAAN

​Kita di​kejut​kan​ berita bahawa mantan Menteri Kewangan 2 merangkap Ahli Parlimen Tambun, Dato’ Seri Haji Ahmad Husni bin Hanadzlah, telah dipanggil untuk disoal siasat Polis Di-Raja Malaysia petang ​semalam​.

Pada minggu lalu, Dato’ Seri Husni telah mengambil bahagian di dalam perbahasan Bajet 2017. Sewaktu perbahasan tersebut, beliau telah menyentuh perihal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ​khususnya bahawa jemaah menteri tidak membincang atau dimaklumkan keadaan sebenar berkenaan 1MDB sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Kewangan 2.

Akibat daripada ucapan perbahasan beliau itu, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah dipetik media sebagai berkata ada kemungkinan bekas jemaah menteri telah melanggar sumpah rahsia mereka​ dan mungkin telah melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 dan/atau Akta Hasutan 1948. ​ Ini telah ​disusuli oleh​ satu laporan polis dibuat terhadap Dato’ Seri Husni, lalu beliau dipanggil ke Bukit Aman ​semalam​.

Walaupun soal siasat itu telah ditangguhkan ke hari lain, namun sepatutnya Dato’ Seri Husni tidak dipanggil langsung. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan di dalam ​perenggan​ 2 Perkara 63, “Keistimewaan Parlimen”, bahawa:

“Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.”

Ini membawa maksud​ yang jelas bahawa seseorang Ahli Parlimen itu mempunyai hak untuk bersuara​ di Parlimen​ dan tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang​ di mana-mana mahkamah berkenaan dengan percakapan atau undinya di Parlimen. Pengecualian terhad wujud mengikut perenggan 4 Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan) berkaitan dengan perlanggaran Akta Hasutan berhubung dengan isu-isu di perkara-perkara 152, 153 dan 181 yang menyentuh kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak dan kedudukan Raja-Raja​.

Adalah jelas perkara 1MDB yang disentuh bukan sahaja Ahli Parlimen Tambun, tetapi juga Ahli-Ahli Parlimen Pagoh dan Semporna tiada kaitan langsung dengan peruntukkan Akta Hasutan.  Peruntukkan Akta Rahsia Rasmi 1972 juga tidak terpakai dalam keadaan ini dan hanya terpakai dengan pendedahan dokumen-dokumen yang merupakan satu rahsia rasmi kerajaan. ​

Perlindungan di bawah Perkara 63 adalah perlu untuk memastikan amalan demokrasi tulen di Parlimen dan sekiranya hak dan kebebasan yang diberikan disalahguna oleh mana-mana Ahli Parlimen, beliau hanya boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk sebarang tindakan.

​Perbincangan mengenai 1MDB adalah satu perkara yang merupakan kepentingan negara oleh sebab ia adalah skandal kewangan negara yang terbesar dalam sejarah kita dan perlu diberi ruang seluasnya untuk dibincang, khususnya di Parlimen.

Oleh itu, saya berharap pihak PDRM mengambil kira Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan ini dan tidak akan memanggil lagi Dato’ Seri Husni untuk disoal siasat. Pada masa yang sama, saya juga berharap bahawa Tan Sri Yang Di-Pertua Dewan Rakyat​ juga akan memastikan perlindungan tegas yang diberikan kepada ahli-ahli Perlimen melalui Perkara 63 tidak dicabuli dan menasihatkan pihak polis dengan sewajarnya.

Semua Ahli Parlimen perlu diberikan ruang secukupnya mengikut Perlembagaan dan Aturan Mesyuarat dan tidak di​ugut dengan apa cara pun, demi kebaikan masa depan demokrasi di Malaysia.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

1 November 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...