TERKINI :

Monday, November 7, 2016

Setelah Membawa Kedah Juara Piala Malaysia Inilah Gaji Terbaru Jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe


KEJAYAAN membawa Kedah muncul juara Liga Perdana 2015 adalah permulaan kepada musim cemerlang Tan Cheng Hoe bersama skuad Lang Merah.

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kejayaan membawa Ke­dah menjulang Piala Malaysia, menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga dan melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA musim ini menyebabkan saham jurulatihnya, Tan Cheng Hoe me­lam­bung.

Sebaik saha­ja tamat Piala Malaysia, Ahad lalu, jurulatih ber­usia 48 tahun itu pantas dikaitkan de­ngan perpindahan ke beberapa pasukan tanah air, termasuk Pulau Pinang kerana kontraknya ber­sama Lang Merah tamat, hujung tahun ini.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang tidak mahu kehilangan jurulatih kesaya­ngan mereka itu dikatakan sanggup menaikkan gajinya sehingga RM100,000 sebulan bagi memastikan kepakaran Cheng Hoe tidak terlepas ke tangan pasukan lain.

“Saya boleh katakan 90 pe­ratus Cheng Hoe akan kekal di Kedah kerana dia mungkin diberi tawaran kontrak yang le­bih lumayan dan dianggarkan hampir RM100,000 sebulan.

“Jadi besar kemungkinan dia tidak akan berhijrah ke pasukan lain, walaupun dikaitkan dengan Pulau Pinang.

“Saya juga difahamkan Kedah bakal mendapat peruntukan lebih besar berbanding sebelum ini kerana mereka telah menjuarai Piala Malaysia.

“Sukar untuk saya katakan sama ada dia akan tinggalkan Kedah atau sebaliknya namun saya fikir dia mungkin akan kekal bersama Lang Merah,” kata sumber rapat KFA kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Cheng Hoe me­ngakui, dia ada dirisik beberapa pa­sukan dalam Liga Malaysia, namun menegaskan masa depannya bersama Kedah bergantung kepada pe­ngurusan KFA sama ada mereka mahu menggunakan khidmatnya atau tidak, musim depan.

Enggan mendedahkan pasukan mana yang cuba merisik, jurulatih itu sebaliknya berkata, buat masa ini hatinya bersama Lang Merah.

“Kontrak saya tamat pada bulan ini dan sama ada saya kekal bersama Kedah atau tidak itu bergantung kepada pihak pengurusan untuk menentukannya.

“Memang ada beberapa pa­sukan berminat untuk mendapatkan khidmat saya tetapi saya tidak boleh beritahu anda (media) berapa pasukan yang melamar saya,” katanya.

Cheng Hoe juga adalah orang yang bertanggungjawab membawa Kedah muncul juara Liga Perdana musim lalu, kejayaan yang membolehkan mereka kembali bersaing dalam Liga Super.

Selain itu, dia turut membantu Lang Merah melangkah ke final Piala Malaysia tetapi tewas 0-2 kepada Selangor.

Kedah bagaimanapun membalas dendam ke atas Sela­ngor dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Ahad lalu apabila menang menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Shah Alam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...