TERKINI :

Sunday, November 20, 2016

Proham: Ingat janji, Sosma untuk pengganas

Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (Proham) hari ini mengecam penahanan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Dalam kenyataan bersama Pengerusi Prohoam Kuthubul Zaman Bukhari dan setiausahanya Datuk Dr Denison Jayasooria berkata, tindakan itu melanggar janji diberi pihak kerajaan ketika Sosma digubal.

Kata mereka sebelum ini pihak berkuasa berjanji menggunakan Sosma hanya ke atas pengganas.

"Maria Chin seorang pejuang hak asasi manusia, bukan pengganas. Maria dan BERSIH cuma mahukan perubahan kepada sistem pilihan raya semasa di Malaysia untuk mendapatkan kebebasan dan keadilan pilihan raya.

"Ini tidak memudaratkan, atau melemahkan demokrasi berparlimen. Sebaliknya, ia menguatkan demokrasi berparlimen," kata mereka.

Maria Chin ditahan polis semalamselepas anggota keselamatan dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia menyerbu pejabat BERSIH di Petaling Jaya.

Turut ditahan bersama Maria Chin, anggota sekretariat BERSIH, Mandeep Singh.

Hari ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kepada Malaysiakini Maria Chin ditahan mengikut Sosma.

Sebelum ini dilaporkan BERSIH disiasat mengikut Seksyen 124 C Kanun Keseksaan kerana mengadakan aktiviti mengancam demokrasi berparlimen - suatu tuduhan yang boleh dikaitkan dengan peruntukan Sosma.

Ekoran penahanan Maria Chin mengikut akta itu Proham menggesa kerajaan membebaskannya serta penyokong BERSIH yang lain dan bekerjasama dengan pertubuhan itu untuk membawa perubahan dalam sistem pilihan raya.

"Bekerjasama dengan mereka mengambil langkah proaktif ke atas menambah baik sistem pilihan raya sedia ada," kata Kuthubul dan Denison.

Kuthubul ialah bekas presiden Majlis Peguam Malaysia manakala Denison ialah bekas ahli akademik dan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...