TERKINI :

Friday, November 25, 2016

Pendang - 200 masyarakat Siam sertai Bersatu


PENDANG - Seramai 200 masyarakat Siam di Padang Terap dan Sik menyerahkan borang keahlian bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Majlis Perjumpaan Pendaftar-Pendaftar Bersatu yang diadakan di Pejabat Bersatu, di sini, baru-baru ini.

Wakilnya, Anat mengetuai penyerahan borang keahlian kepada Timbalan Ketua Pendaftar Keahlian Bersatu Kedah, Abdul Razak Khamis.

Menurut Anat, ramai yang menyertai Bersatu itu terdiri daripada bekas ahli Umno dan juga yang belum lagi menjadi ahli mana-mana parti politik walaupun sudah beberapa kali mengundi pada pilihan raya lalu.

Katanya, ramai penduduk di kawasan berkenaan kecewa dengan perjuangan kepimpinan hari ini hingga menyebabkan penduduk mengalami tekanan hidup kerana ekonomi yang tidak stabil sejak akhir-akhir ini.

"Masyarakat Siam mahu ekonomi Malaysia maju seperti dahulu yang pernah dipimpin oleh Tun Mahathir hingga dipandang tinggi oleh negara luar. Bagaimanapun hari ini kerajaan gagal membawa Malaysia seperti yang diharapkan dalam wawasan 2020 ke arah negara maju.

"Oleh itu sudah sampai masanya seluruh rakyat di Malaysia ini memilih pemimpin yang bijak dalam mengembalikan semula maruah Malaysia seperti dahulu. Apa yang menyedihkan lagi rakyat dibebankan dengan hutang yang akan ditanggung oleh generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, sambutan masyarakat terhadap Bersatu sungguh menggalakkan dan bukan sahaja disahut oleh mereka yang berbangsa Melayu sahaja tetapi dari pelbagai bangsa.

"Penyerahan dari masyarakat Siam ini sudah membuktikan Bersatu sangat relevan kepada semua kaum di negara ini. Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menyerahkan borang serta menunjukkan sokongan padu pada parti yang baru dilahirkan ini.

"Saya percaya sambutan masyarakat Siam di Pendang baru-baru ini telah menjadi momentum gerakkan bagi kaum yang sama untuk menyertai parti ini. Oleh itu, saya sangat mengalu-alukan supaya masyarakat Siam di seluruh Kedah supaya memberi sokongan kepada Bersatu supaya Kedah dapat ditawan oleh Bersatu pada pilihan raya nanti," katanya.

Katanya, melalui perjumpaan itu Bersatu kini mempergiatkan lagi gerak kerja bagi persediaan pilihan raya yang akan menjelang nanti serta menyasarkan golongan atas pagar supaya memilih Bersatu sebagai pilihan mereka nanti.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...