TERKINI :

Friday, November 4, 2016

Penang Institute tiada pernah terima dana OSF

Penang Institute tidak pernah menerima atau memohon dana Open Society Foundation yang dikaitkan dengan jutawan dari Amerika Syarikat, George Soros, kata Pengarah Eksekutifnya, Zairil Khir Johari.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, tiada seorangpun di kalangan kakitangan Penang Institute mempunyai kaitan dengan felo Central European University.

"Dalam kata lain, Penang Institute tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan organisasi di atas, seperti yang didakwa," katanya dalam kenyataan.

Dakwaan berkenaan berpunca dari 'kebocoran dokumen' yang diperolehi dari laman web yang dikenali sebagai DC Leaks.

Dalam dokumen berkenaan, Penang Institute disenaraikan sebagai benefisiari geran pengajian bagi program felo siswazah di Central European University untuk pengajian dasar awam di Hungary.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, pihaknya terkejut membaca laporan oleh akhbar arus perdana yang mengaitkan Penang Institute dengan organisasi berkenaan.

Penang Institute adalah badan pemikir dasar awam kerajaan negeri Pulau Pinang dan tidak menerima bantuan kewangan daripada sumber asing tanpa kelulusan kerajaan negeri, jelasnya.

"Oleh itu, sebarang usaha untuk mencemarkan imej kami dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas adalah berniat jahat.

"Justeru, kami berhak untuk mengambil tindakan undang-undang jika perlu," katanya.

Pada masa yang sama, pihaknya juga mempersoalkan motif di sebalik tuduhan-tuduhan ini terutamanya dengan menyasarkan pelbagai pertubuhan dan badan-badan bebas dan kritikal terhadap rejim pemerintah, tambahnya.

"Kami mengutuk kempen berniat jahat untuk memburuk-burukkan NGO dan institusi hanya kerana tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...