TERKINI :

Tuesday, November 15, 2016

PAS yakini usaha kerajaan stabilkan pasaran kewangan

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS menyeru rakyat supaya meyakini usaha kerajaan menstabilkan pasaran kewangan pasca pilihan raya presiden Amerika Syarikat.

Malah, parti Islam itu berkata rakyat yang berspekulasi mengenai perkara itu boleh memburukkan lagi keadaan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini. Media melaporkan nilai ringgit yang rendah dijangka kekal tidak menentu sehingga pertengahan Disember atau sehingga pelantikan Donald Trump Januari nanti.

“Kami percaya bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia (Datuk Muhammad Ibrahim), Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Tan Sri Ranjit Ajit Singh) dan pasukan mereka sedang berusaha sebaik mungkin untuk menstabilkan pasaran kewangan kita.

“Kamu menyeru rakyat Malaysia agak meletakkan sepenuh keyakinan terhadap tindakan dan dasar BNM dan SC, dan mengelakkan sebarang spekulasi tidak berasas yang boleh memburukkan lagi keadaan.”

Pasaran kewangan Asia Tenggara mengalami ketaktentuan sebaik sahaja calon Republican Donald Trump dilaporkan mendahului persaingan pemilihan presiden negara itu.

Trump menewaskan pencabar parti Demokratik Hillary Clinton melalui kempen anti-perdagangan dan proteksionisme.

Penganalisis berkata ketidakstabilan pasaran antara lain disebabkan ketidakpastian terhadap dasar-dasar yang akan diperkenalkan pentadbiran Donald Trump nanti.

Penganalisis memberi amaran Malaysia perlu bersedia menghadapi ketidakstabilan pasaran kewangan yang meningkat, berdasarkan peningkatan aliran keluar modal yang sejajar dengan jangkaan kenaikan kadar faedah AS.

“Ketidakstabilan itu berbeza di setiap negara. Seperti Malaysia, pelaburan asing dalam pasaran bon, terutamanya dalam sekuriti kerajaan, akan menyaksikan aliran keluar yang meningkat,” kata profesor ekonomi di Pusat Pengajian Perniagaan Sunway University Dr Yeah Kim Leng kepada Bernama.

Beliau berkata ini juga akan menyebabkan ringgit lemah. Pada 2 petang hari ini, ringgit disebut pada 4.3250 berbanding dolar AS.

Penganalisis tidak menolak kemungkinan ringgit jatuh ke paras serendah RM4.50 – RM4.80 berbanding dolar AS.

“Ketaktentuan matawang akan berterusan sehingga dasar ekonomi dan perdagangan pentadbiran AS dijelaskan,” kata penganalisis CIMB Investment Bank Ivy Ng kepada Edge Markets.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...