TERKINI :

Monday, November 7, 2016

PAS yakin usul Akta 355 Hadi dibentang akhir sidang


PAS menjangkakan usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 akan dibentang pada 23 atau 24 November ini.

Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ahli dan penyokong kepada usul berkenaan perlu bersabar sehingga ke tarikh berkenaan.

‎"Insya-Allah pada tarikh berkenaan, tunggu dan lihat," katanya dipetik Sinar Online hari ini.

Usul berkenaan dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui peruntukan rang undang-undang persendirian yang perlu dicadangkan oleh menteri untuk dibahaskan sebelum speaker membuat ketetapan mengenainya.

Usul Abdul Hadi itu diletakkan pada nombor empat peraturan mesyuarat pada hari pertama sidang Dewan Rakyat kali ini namun tidak sempat dibentang atau dibahaskan.

Ia kemudian berada pada kedudukan lebih ke bawah pada hari kedua sehinggalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2017 pada 21 Oktober lalu.

Pada 26 Oktober Malaysiakinimelaporkan Abdul Hadi sebagai berkata penurunan giliran usul itu tiada kena mengena dengannya.

"Kenapa (usul persendirian) naik, turun, itu urusan speaker. Bukan urusan saya. Saya kemukakan usul, terpulang pada mereka nak letak nombor satu ke, tujuh, 40.

"Ada udang ke, ikan, buaya, saya tak tahu. Ini terpulang," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2017 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) yang bertanya kepada presiden PAS itu, mengenai usulnya yang "naik dan turun" dalam kertas aturan mesyuarat dewan.

Bagaimanapun kenyataan Mohd Khairuddin yang juga ketua penerangan Dewan Ulama PAS - hari ini menunjukkan parti itu tetap yakin cubaan mereka membawa usul berkenaan tetap akan berjaya sebelum sidang kali ini berakhir.

Hari terakhir Dewan Rakyat bersidang kali ini ialah 24 November.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...