TERKINI :

Friday, November 25, 2016

‘PAS tangguh bukan sebab BANTAHAN BUKAN ISLAM’

KUALA LUMPUR – Penangguhan huraian pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang tiada kaitan dengan bantahan orang bukan Islam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya ia bagi memberikan peluang terutama kepada ahli parlimen untuk lebih memahami pindaan itu.

"Kalau kita lihat dalam dewan, tiada ahli parlimen bukan Islam yang menentang. Saya terkejut walaupun digembar-gemburkan kepimpinan parti politik bukan Islam menentang pindaan RUU ini, tetapi hari ini (semalam) Presiden MCA, Presiden Gerakan ada.

"Saya tabik sebab mereka gunakan saluran demokrasi untuk benarkan bentang dulu. Kalau nak bantah, buat masa perbahasan," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai permohonan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar huraian pindaan RUU 355 dibuat sesi akan datang.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Abdul Hadi akan memberi huraian lengkap dalam sidang Mac ini mengenai justifikasi dan asas pindaan tersebut.

"Kalau buat (bahas) hari ini, nanti kita dikatakan tidak beri peluang untuk kaji pula. Ini pindaan pertama dan kita baru masukkan (pindaan) hari ini. Kalau kita dah letakkan pindaan awal-awal mungkin tiada masalah (untuk faham)," katanya.

Ditanya mengenai cadangan agar jawatankuasa pemilihan ditubuhkan, Takiyuddin berkata, ia hanya dibolehkan selepas bacaan pertama.

"Jika kerajaan nak buat jawatankuasa, kita setuju. Tetapi buat masa ini tak boleh buat sebab tarafnya hanya usul persendirian. Jadi kita tunggulah lepas bacaan pertama, kita akan gesa kerajaan untuk buat jawatankuasa," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...