TERKINI :

Sunday, November 13, 2016

PAS nafi guna himpunan Lasak lawan Bersih 5

PETALING JAYA: PAS menafikan himpunan Ledakan Suara Rakyat (Lasak) yang merupakan anjuran tetap parti itu digunakan untuk melawan Bersih 5.

Pengerusi majlis Roslan Shahir mengecam penyebaran poster anti-Bersih yang disebarkan dalam kalangan hadirin himpunan Lasak di Taman Medan hari ini.

Poster yang dilihat FMT tertulis “berjemaah di masjid lebih bersih berbanding himpunan dengan penentang undang-undang Islam”.

Poster itu berkata umat Islam “wajib” tolak Bersih 5 kerana mereka “menghina ulama”, “ditaja Yahudi”, “didalangi PAN dan DAP” dan “perhimpunan maksiat”.

Lebih 1,000 poster seperti itu diletakkan di kerusi-kerusi yang tersedia untuk dipungut oleh lebih 1,000 hadirin hari ini.

Poster itu menimbulkan kemarahan orang ramai.

“Jangan sebarkan poster yang macam ini. Kita parti sudah lebih 60 tahun dan ini bukan budaya kita,” kata Roslan.

Beliau berkata penyebaran poster itu memberi gambaran buruk kepada PAS.

“Kita tidak buat kerja-kerja macam ini, kita tahu bagaimana nak berpolitik.”

Bersih 5 bakal diadakan 19 November ini bagi mendesak reformasi institusi dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

PAS memutuskan untuk tidak menyertai himpunan kali ini kerana tuntutan gabungan itu menyimpang daripada perjuangan asal Bersih.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...