TERKINI :

Monday, November 14, 2016

Parti Komunis China kesal sikap pembangkang M'sia


Timbalan Ketua Pengarah Parti Komunis China (CPC), Rao Huihua berkata, parti kesal dengan sikap pihak pembangkang di negara ini kerana mempolitikkan kunjungan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak ke China.

“Pihak CPC berasa kesal apabila mendapat tahu kunjungan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke China baru-baru ini dipolitikkan oleh pihak pembangkang negara ini.

“Saya berharap perkara ini tidak akan menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang sudah terjalin hampir dua dekad,” ujarnya, memetik laporan Umno Online.

Kekesalan itu dizahirkan semasa kunjungan hormat beliau ke ibu pejabat Umno dengan mengadakan pertemuan bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, semalam.

Rao tiba ke Malaysia bagi menghadiri Perhimpunan Agung MCA selain mengadakan kunjungan hormat ke ibu pejabat Umno bagi mendapat tahu kedudukan politik semasa negara ini.

Sementara itu, dalam ucapan balas, Irmohizam mengakui akan kewujudan pandangan negatif yang mempertikaikan kunjungan hormat Najib ke China.

Namun, katanya, memang sudah menjadi sikap pembangkang di negara ini yang sentiasa cuba mengganggu-gugat keyakinan rakyat terhadap pemimpin sedia ada.

“Kami di pihak kerajaan telah memberi penerangan kepada rakyat bahawa kunjungan Najib ke China sebenarnya memberi impak positif kepada ekonomi dan hubungan politik antara kedua-dua negara.

“Apapun yang pembangkang cuba lakukan, hubungan baik antara Malaysia dan China tidak akan tergugat malah ia akan sentiasa dijaga demi kepentingan kedua-dua belah pihak,” ujarnya.

Dalam perjumpaan tersebut juga, Rao Huihua turut memaklumkan CPC akan kembali ke Malaysia bagi menghadiri Perhimpunan Agung Umno pada 29 November sehingga 3 Disember ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...