TERKINI :

Monday, November 7, 2016

Liridon Krasniqi tinggalkan Kedah?

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Pertemuan menentang Selangor dalam final Piala Malaysia Ahad lalu mungkin menjadi penampilan ter­akhir perancang tengah kreatif, Liridon Krasniqi bersama pasukan Kedah.

Walaupun mengharungi musim cemerlang bersama skuad Lang Merah dengan membantu mereka muncul juara Piala Malaysia, selain menghuni tangga ketiga Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United, namun pemain antarabangsa Kosovo itu enggan memukta­madkan komitmennya akan terus kepada Kedah.

Krasniqi, 24, menunjukkan impak besar bersama Kedah sejak menyertai pasukan itu dari kelab Turki, Osmanlispor musim lalu, termasuk membawa mereka muncul naib juara Piala Malaysia 2015.

Namun, perkembangan positif itu belum menjamin pemain tinggi lampai tersebut untuk kekal di Kedah, walaupun mengakui hatinya semakin sayangkan Lang Merah dan penyokong Hijau Kuning.

“Saya belum pasti mengenai masa depan. Jika semuanya berjalan baik di sini, saya mungkin kekal bersama Kedah tetapi saya tidak dapat memberi sebarang jaminan buat masa ini.

“Ketika ini, saya hanya mahu menikmati kemenangan kami dan meraikan kejayaan bersama rakan-rakan sepasukan serta penyokong Kedah,” kata Krasniqi ketika ditemui dalam majlis makan malam bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara malam tadi.

Khabar angin kini bertiup kencang yang Krasniqi dikatakan sedang berunding dengan beberapa pasukan besar tempatan.

Dia disifatkan sebagai antara pemain import terbaik dalam Liga Malaysia musim ini menerusi persembahan cemerlang di bahagian tengah.

Pada Ahad lalu, pemain 1.88 meter tinggi itu menjadi watak penting skuad Lang Merah apabila mencipta beberapa gerakan bahaya, selain menyempurnakan sepakan penalti yang membantu mereka muncul juara Piala Malaysia buat kali kelima.

- See more at: https://m.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/liridon-krasniqi-tinggalkan-kedah-1.402382#sthash.csf3ayyf.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...