TERKINI :

Wednesday, November 30, 2016

Kerajaan salah guna pelbagai akta, bukan sahaja Sosma


Wan Anwar Wan Ibrahim

Biro Undang-undang Amanah (Kanun) menyifatkan pembebasan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah tidak menunjukkan bahawa kerajaan lebih baik malah lebih membuktikan lagi kezaliman dan kerakusan dalam menyalahguna pelbagai akta sedia ada untuk melakukan politik intimidasi terhadap pembangkang.

Timbalan Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, kerajaan secara terang-terang menipu rakyat dengan kononnya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi mewujudkan undang-undang yang lebih drakonian.

“Ini baru Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012), belum lagi akta-akta seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Akta 769) atau POTA, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) atau POCA termasuklah Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776) sendiri,” jelasnya.

Mengulas lanjut pembebasan Maria selepas 10 hari ditahan di bawah Sosma, beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak berpuas hati dengan cara dan akta yang diguna pakai terhadap Maria dan beberapa individu lain yang turut ditahan.

“Kami menyelar penggunaan Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana jelas penganjuran perhimpunan aman BERSIH 5 pada 19 November lalu adalah selaras dengan hak yang diperuntukkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan turut disokong oleh keputusan Mahkamah Tinggi dan juga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Kami turut kesal dengan pemakaian Seksyen 147 akta yang sama terhadap mereka kerana selain daripada mereka ditangkap dan ditahan atas ‘kesalahan yang belum pun lagi dilakukan’, tidak ada satu tangkapan pun dibuat semasa BERSIH 5 kerana rusuhan,” tegasnya yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional.

Sosma diluluskan di parlimen pada 17 April 2012 dan diwartakan pada 22 Jun tahun yang sama.

Akta itu boleh membawa kepada hukuman mati mandatori ke atas sesiapa yang didapati bersalah.

Ketika dibahaskan kerajaan berjanji menggunakan peruntukan akta itu bagi menangani pengganas dan bukan kepada musuh politik pemerintah.

Sehubungan itu, Wan Anwar menyeru semua pihak supaya menggerakkan semua usaha untuk menentang undang-undang yang zalim di negara ini kerana jelas memberikan lesen kepada kerajaan untuk terus menzalimi rakyat selain membelakangi semangat Perlembagaan

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...