TERKINI :

Thursday, November 10, 2016

Ini yang BN takutkan seandainya pembangkang lakukan.. iaitu "bersatu"

BN hadapi masalah jika semua pembangkang bersatu

NURUL KHALEEDA RASHIKIN

10 November 2016

RAKYAT  kini menyaksikan para pembangkang sedang mencari kata sepakat untuk bersatu menentang BN pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) kelak.

Menurut penganalisis politik, Md Shukri Shuib yang mendakwa BN bakal punyai masalah besar jika parti dan tokoh pembangkang utama di negara ini bertindak untuk bersatu.

“Jika kesemua mereka bersatu dan memastikan berlakunya pertandingan satu lawan satu antara kelompok calon parti-parti pembangkang, maka ia akan beri kesan yang besar kepada BN.

“Saya merasakan usaha penyatuan semua parti utama pembangkang dalam satu gagasan mestilah merangkumi peranan kelompok pemimpin yang dipayungi oleh Tun Dr Mahathir bersama dengan Pas, PKR dan DAP.

“Bagaimanapun, salah satu daripada kelompok ini tidak bersama pakatan pembangkang maka ia tidak membawa impak kukuh dalam perlawanan dengan BN,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Tambah beliau lagi, dengan isu yang wujud kini membuatkan rakyat mudah untuk mencari parti alternatif selain BN.

“Dengan isu politik membabitkan kepimpinan utama BN yang wujud kini, ditambah pula dengan isu ekonomi sosial masyarakat serta isu kos sara hidup.

“Ia menjadi faktor pelengkap kepada peningkatan simpati dan sokongan pada tokoh dan parti lain selain BN,” katanya lagi.

Beliau juga mencadangkan agar BN berwaspada kerana faktor kemenangan parti itu pada PRU 14 nanti bergantung sejauh mana kelompok parti tersebut mampu bergabung atau tidak.

“Kemenangan BN bukan hanya atas faktor persempadanan semula kawasan pilihan raya mengikut garis populasi kaum tetapi ia juga bergantung pada sejauh mana parti-parti ini mampu untuk bergabung sesama mereka.

“Jika berlaku pertandingan satu lawan satu, BN perlu mengutamakan siapa calon yang sesuai dan kekuatan calon ini bakal mengatasi lambakan isu yang menghentam BN ketika ini,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau turut merasakan bahawa Pas sudah serik untuk berkomplot dengan DAP kerana sikap parti itu yang keras dalam perjuangan liberal dan anti agenda Islamisasi gaya Pas.

“Tanpa Pas mahupun DAP, maka pembangkang tidak mampu menjadi alternatif buat BN.

“Namun, BN akan kalah teruk jika Pas mengambil pendirian untuk bersama pembangkang,” turutnya lagi.

Selain itu, beliau turut mengatakan bahawa cabaran utama yang dihadapi pembangkang untuk bersatu mengalah BN adalah soal perbezaan perjuangan mereka.

“Contoh terbaik ialah Pas yang mahukan agenda Islamisasi dan proses perundangan Islam dilaksanakan di negara ini manakala DAP pula menentang agenda yang dibawa Pas.

“Ia satu penentangan perjuangan sesama pembangkang dan inilah yang mereka perlu selesaikan dahulu jika ingin bersatu,” katanya mengakhiri bicara.
 

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...