TERKINI :

Monday, November 28, 2016

Hutang tinggi, pertumbuhan rendah

A KADIR JASIN
27 November 2016

A Kadir Jasin

BARU-baru ini dalam percubaan untuk terus mengabui mata rakyat jelata, sebuah akhbar milik sebuah parti politik kerajaan telah menyiarkan berita mengenai kejayaan eksport negara.

Saya perhatikan ada kalanya komen-komen ekonomi mereka sangat profesional dan bermutu tinggi walaupun berat sebelah. Ini menimbulkan syak wasangka bahawa rencana-rencana itu sebenarnya ditulis oleh penulis-penulis hantu. Mereka sekadar meminjamkan nama.

Mengguna pakai rajah eksport, mereka mengulas: “Negara hendak muflis? Tidak sampai setahun pun eksport Malaysia sudah hampir dengan hutang Malaysia.”

Menggunakan perangkaan eksport bagi melindungi jumlah hutang yang menggunung mendedahkan kedangkalan tukang cerita itu. Realitinya tidak wujud kaitan yang kukuh di antara eksport negara dengan hutang kerajaan.

Tukang cerita mengatakan eksport sebanyak RM568.4 bilion antara Januari dan September tahun ini adalah hampir serupa dengan hutang kerajaan. Jadi dalam perkiraan beliau, hutang negara tidaklah sebesar mana dan negara tidak akan muflis kerananya.

Bank Negara melaporkan, hutang Kerajaan Pusat pada 31 September lalu, berjumlah RM643.6 bilion atau bersamaan dengan kira-kira 55 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP). Daripada jumlah itu, RM411.4 bilion dari sumber dalam negara dan RM232.1 bilion dari luar.

Apa yang penulis itu tidak tahu atau sengaja memesongkan fakta ialah tidak ada kaitan yang kuat di antara jumlah eksport dengan kewangan kerajaan atau kemuflisan negara. Lagi pun beliau tidak mengatakan apa-apa mengenai kedudukan eksport negara yang sebenarnya tidak sekuat mana pada akhir-akhir ini.

Mengikut unjuran Belanjawan 2017 yang dibentangkan 21 Oktober lalu, eksport dijangka meningkat 1.1 peratus saja tahun ini dan 2.7 peratus tahun depan. Ini bukan saya yang kata tetapi Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Abdul Razak, Kementerian Kewangan dan Bank Negara yang kata.

Daripada jumlah eksport yang digambarkan sebagai hebat itu, bahagian yang dimiliki kerajaan tidaklah sebanyak mana. Selain eksport bahan-bahan petroleum yang sebahagiannya milik kerajaan, eksport yang lain bukan milik kerajaan. Hasil kerajaan hanyalah dalam bentuk cukai eksport. Kerajaan mengenakan cukai ke atas eksport dan import untuk mengutip hasil.

Hasil yang bakal diperoleh kerajaan dalam bentuk cukai daripada eksport sebanyak RM568.4 bilion itu pastinya amat kecil berbanding hutang kerajaan sebanyak RM643.6 bilion.

Untuk memudahkan kefahaman mengenai kedudukan hutang kerajaan dan kesan kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat jelata, izinkan saya memetik beberapa perangkaan rasmi dan membandingkannya dengan perbelanjaan kerajaan.

Belanjawan 2017. Hasil kerajaan dijangka naik 3.4 peratus kepada RM219.73 bilion. Cukai barang dan perkhidmatan saja dianggar akan menghasilkan RM40 bilion.

Tetapi perbelanjaan kerajaan tahun depan dianggarkan RM260.8 bilion atau RM41.07 bilion lebih tinggi daripada hasil. Untuk menampung kekurangan itu kerajaan terpaksa berhutang.

Sebenarnya hasil yang kerajaan pungut hanya cukup untuk perbelanjaan mengurus macam bayar gaji dan pencen kakitangan awam, menyelenggarakan harta kerajaan dan membayar balik hutang.

Tahun hadapan kerajaan akan membelanjakan RM214.8 bilion untuk pengurusan. Jadi baki yang ada untuk pembangunan hanyalah RM4.93 bilion sedangkan anggaran pembangunan adalah RM46 bilion. Daripada mana datang baki RM41.07 bilion itu kalau bukan hutang.

Kerajaan berhutang perkara biasa. Dulu pun kerajaan berhutang khususnya untuk membiayai pembangunan tetapi tidaklah sebanyak sejak tahun 2009.

Yang menjadi persoalan sekarang ialah hutang kerajaan melambung tetapi kesan positif terhadap ekonomi tidak sebanyak mana.

Jadi orang yang faham ekonomi dan kewangan bertanya apa jadi dengan duit hutang yang banyak itu? Jawapannya boleh diperoleh daripada laporan tahunan Ketua Juruaudit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) iaitu ketirisan yang berpunca daripada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan ketidakcekapan.

Jadi adalah tidak tepat dan tidak bermakna cuba membandingkan eksport dengan kedudukan kewangan kerajaan dan sama ada negara akan muflis atau tidak. Ia adalah kerja orang yang tidak faham ekonomi atau orang yang sengaja hendak mengelirukan rakyat jelata.

Sebaliknya kalau kita benar-benar hendak menguar-uarkan kedudukan perdagangan negara, kita patut lebih bimbang mengenai imbangan perdagangan yang semakin sempit kerana eksport berkurangan tetapi import bertambah. Wallahuaklam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...