TERKINI :

Wednesday, November 9, 2016

"Anak Gayong mana sertai Himpunan Politik saya 'Balun' "

Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia, Dato' Raja Abdul Majid Raja Mat Isa memberi amaran kepada semua anak muridnya agar tidak menyertai himpunan politik, termasuk yang dianjurkan oleh gerakan Baju Merah.

Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Majid berkata, ini kerana pertubuhan silat itu tidak mencampuri urusan politik demi menjaga nama baik persilatan.

"Mana-mana anak silat yang menyertai mana-mana himpunan mahu pun yang dijadualkan akan datang saya akan 'balun' dan tentang mereka.

"Kita juga telah memberi arahan kepada anak-anak Pusaka Gayong jangan sertai himpunan akan datang.

"Kalau sertai juga dan kita dapat tahu, kita akan panggil dan ambil tindakan kepada mereka," kata Cikgu Majid kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persembahan silat yang digunakan dalam perhimpunan Baju Merah di depan pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Malah, tegas Cikgu Majid, aksi silat yang dipersembahkan pada himpunan membantah portal berita Malaysiakini Sabtu lalu bukan dari pertubuhan seni silat itu.

"Kita Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia tak campur masalah orang lain dan yang pandai-pandai tunjuk silat hari itu pun bukan dari anak silat kita tetapi orang yang mahu busukkan nama Silat Gayong.

"Ini semua manusia kurang ajar yang hanya mencari kesempatan," keluh Cikgu Majid dengan nada kesal.

Dalam protes di pejabat Malaysiakini pada Sabtu, beberapa anggota pergerakan baju merah mengadakan demonstrasi seni mempertahankan diri.

Mereka menunjukkan kehebatan dengan membenarkan diri mereka dipukul berulang kali menggunakan kepingan kayu.

Malah, salah seorang peserta memecahkan blok batu dengan kepalanya.

Baju Merah ditubuhkan bagi menentang gabungan pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang memimpin Baju Merah berikrar menghimpunkan 300,000 peserta sebagai himpunan balas bagi membantah perhimpunan BERSIH yang dijadual pada 19 November ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...