TERKINI :

Thursday, November 17, 2016

Bajet Kedah 2017: Penjawat awam terima bonus

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI & ROSHILA MURNI ROSLI


Ahmad Bashah (depan, kanan) bersama sebahagian Adun BN selepas pembentangan Bajet Kedah 2017, semalam.

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah bersetuju memberi Bayaran Khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri dengan peruntukan sebanyak RM3.045 juta.

 Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Bayaran Khas itu akan dibuat pada akhir tahun ini.

 “Seiring dengan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam Bajet 2017 baru-baru ini, sebanyak RM500 akan diberi kepada semua penjawat awam negeri.

 “Peruntukan ini melibatkan seramai 6,090 orang kakitangan tetap dan kontrak kerajaan negeri bagi menghargai iltizam dan kesungguhan mereka,” katanya semasa pembentangan Bajet Kedah 2017, semalam.

 Selain itu, insentif lain yang berasaskan kecekapan, prestasi dan upaya pengutipan hasil jabatan sedang dirangka dan akan ditentukan mekanismenya secara dalaman sebagai rangsangan kepada kakitangan.

 “Secara keseluruhannya, anggaran peruntukan pembangunan bagi sektor pentadbiran, sukan dan lain-lain dikhususkan sebanyak RM87.69 juta atau mewakili 34.20 peratus dari keseluruhan belanja pembangunan.

 “Di antara yang menjadi fokus ialah penyediaan bangunan dan prasarana pentadbiran yang kondusif bagi kakitangan kerajaan melaksanakan tugas dengan cekap. Peruntukan terlibat ialah seperti projek membina dan menyiapkan Kompleks Pejabat Pengarah Tanah dan Galian serta Kompleks Jabatan Kerja Raya Kedah di Jalan Suka Menanti,” katanya.

 Katanya, kerja-kerja menaik taraf kemudahan dan prasarana kerja yang selesa termasuk projek menaik taraf Bangunan Wan Mat saman yang menempatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan lain-lain jabatan negeri juga akan dilaksanakan.

 “Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan program pembinaan taska di tempat kerja untuk kemudahan penjagaan dan asuhan anak-anak penjawat awam.

 “Seterusnya sebanyak RM12.42 juta telah diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan dan prasarana sukan termasuk kerja-kerja menaik taraf Stadium Darul Aman, Pusat Akuatik Gunung Keriang dan Kompleks Sukan Hijau Kuning,” katanya.

 Ahmad Bashah berkata, bagi kerja-kerja penyelenggaraan elektrikal dan mekanikal bangunan-bangunan kerajaan dan kuarters telah diperuntukkan sebanyak RM5.7 juta untuk dilaksanakan di seluruh Kedah.

 “Manakala bagi lain-lain peruntukan adalah bagi tujuan pembangunan sumber manusia, pusat-pusat kecemerlangan pertanian, pusat-pusat haiwan, pengambilan balik tanah dan peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...