TERKINI :

Wednesday, November 2, 2016

Antara peminjam PTPTN dan Riza Aziz

Oleh Ashraff Nazrin

Seluruh rakyat Malaysia sedia maklum Datuk Seri Najib Razak akan berangkat ke China atas urusan rasmi kerajaan, lebih awal lagi sewaktu belanjawan 2017 mula dibentang ke dalam Parlimen.

Yang rakyat tidak tahu dan mendapat kejutan adalah apabila semalam, secara terang-terangan, anak tiri perdana menteri kita berada sekali di dalam jet rasmi kerajaan mengikuti lawatan rasmi ke China.

Kita semua sedia maklum Riza Aziz antara individu yang terkait dengan skandal 1MDB tetapi masih bebas bergerak ke luar negara seperti tidak ada rasa bersalah. Lebih malang, apabila pergerakan beliau ke luar negara terpaksa ditaja oleh rakyat menggunakan jet rasmi kerajaan.

Persoalannya di sini, mengapa Riza boleh bebas bergerak sedangkan di belakang tengkuk beliau terbeban dengan isu skandal 1MDB yang berkait rapat dengan kewangan negara melibatkan wang berjumlah berbilion ringgit?

Mengapa peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mendapat keistimewaan yang sama walaupun hanya gagal membayar hutang berjumlah ribuan ringgit sahaja yang jauh lebih kecil nilainya berbanding dengan skandal yang didakwa ke atas Riza?

Adakah semua peminjam PTPTN perlu menjadi anak tiri Najib untuk mendapat keistimewaan yang sebegitu rupa?

Rakyat perlu tanya kepada kerajaan apakah pendirian mereka terhadap individu yang disenarai hitam daripada bergerak keluar negara?

Adakah mahasiswa yang tidak mampu membayar hutang ini jauh lebih jahat?

Sekiranya kerajaan benar-benar serius dalam menguruskan kewangan negara, ia seharusnya memburu individu yang dikatakan terlibat dengan skandal wang rakyat dan hidup mewah ini dahulu sebelum memburu mahasiswa yang belum tentu cukup makan selepas bergraduasi kerana keadaan ekonomi yang mendesak hasil tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab menguruskan sumber negara.

Ashraff Nazrin seorang aktivis pelajar.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...