TERKINI :

Thursday, October 20, 2016

Usaha perkasa Mahkamah Syariah tingkatkan keyakinan

FITRI AFFENDI MUSTAFA

22 April 2015 1:06 AM

KUALA LUMPUR 21 April – Usaha kerajaan dalam memperkasakan institusi mahkamah syariah berjaya mening­katkan keyakinan masyarakat terhadap langkah memartabatkan undang-undang Islam di negara ini.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, langkah kerajaan menubuhkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada tahun 1998 merupakan antara usaha paling berkesan bagi menye­ragamkan undang-undang Islam di setiap negeri sekali gus memperkasakan undang-undang tersebut.

“Apabila seragam, kita nampak peranan kerajaan untuk memartabatkan undang-undang Islam di negara ini kerana masyarakat tidak lagi mendengar keputusan yang berbeza dikeluarkan mengikut negeri.

“Oleh itu, tidak timbul lagi persepsi pandang rendah masyarakat terhadap mahkamah syariah iaitu ba­nyak membuat keputusan berbeza mengikut setiap negeri sebagaimana yang berlaku sebelum JKSM ditubuhkan,” katanya dalam Seminar Mahkamah Syariah Malaysia di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, kerajaan perlu terus memperkasakan peranan Mahkamah Syariah terutama dalam aspek gaji Hakim dan pegawai institusi tersebut yang masih jauh ketinggalan berbanding Hakim Mahkamah Sivil.

Sebagai contoh katanya, hakim mahkamah sivil yang mende­ngar kes penjagaan anak menerima gaji sebanyak RM40,000 sebulan manakala hakim mahkamah syariah yang mendengar kes sama pula menerima gaji RM6,000.

“Jumlahnya sangat jauh dan kerajaan perlu menyemak semula gaji hakim serta pegawai mahkamah syariah agar martabat institusi ini dapat terus diperkasakan,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Jaba­tan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang berkata, terdapat banyak perubahan telah dilakukan kerajaan dalam memperkasakan mahkamah syariah termasuk undang-undang lebih jelas, sistem pentadbiran mahkamah yang lebih kemas serta profesion hakim syariah yang lebih terjamin.

“Perubahan yang dilakukan kerajaan ini telah menjadikan peranan mahkamah syariah semakin baik dalam memartabatkan undang-undang Islam,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...