TERKINI :

Sunday, October 23, 2016

Tony Pua beri amaran bom jangka dalam Laporan Ekonomi 16/17

 tonypua35_bajrt_600
KUALA LUMPUR: Apabila bom jangka Perbadanan Awam Bukan Kewangan (PABK) meletup, Bajet 2017 akan kelihatan seperti melancong ke Hawaii.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menyimpulkan perkara itu selepas mengkaji Laporan Ekonomi 2016/2017.

“Ia mendedahkan bom jangka yang disorok Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak,” kata Tony, yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa kerajaan meletakkan perbelanjaan yang melampau kebanyakkannya bawah PABK. “Ini bagi memperlihatkan defisit belanjawan yang ‘sederhana’.”

Anggaran defisit PABK bagi 2016 adalah RM50.5 bilion, katanya. “Tidak termasuk hutang 1MDB yang berbilion ringgit.”

Defisit PABK adalah RM10.6 bilion pada 2013, RM52.3 bilion pada 2014 dan RM56.9 bilion pada 2015, menurut Laporan Ekonomi 2016/2017.

Tony mendapati perbelanjaan PABK tidak terdapat dalam belanjawan kerajaan. “Ini supaya defisit yang ‘cermat’ ditekankan dalam belanjawan itu,” katanya.

Sementara itu, katanya, defisit belanjawan Kerajaan Persekutuan bagi 2015 adalah lebih rendah iaitu RM37.2 bilion dan dijangka mencecah RM38.7 bilion dan RM40.3 bilion bagi 2016 dan 2017.

Pada masa ini, laporan itu menyatakan caj perkhidmatan hutang Kerajaan Persekutuan meningkat daripada RM20.3 bilion pada 2013 kepada RM28.9 bilion yang diunjurkan pada 2017.

“Kewajipan kewangan PABK akan memacu dan membesarkan kenaikan itu,” kata Tony. “Kewajipan itu akibat daripada defisit yang besar dalam tahun mendatang.”

PABK terbabit dalam pelbagai projek berbilion ringgit.

Ia termasuk Projek Penyambungan LRT, Projek MRT 1 dan 2, cadangan keretapi berkelajuan tinggi dan Lingkaran Laluan Kereta Api Pantai Timur bernilai RM55 bilion.

PABK termasuk 29 syarikat milik kerajaan.

Indah Water Konsortium, KTM Bhd, Telekom Malaysia, Malaysia Airlines Bhd, Malaysia Airport Holdings, Petronas, Prasarana, Syarikat Perumahan Negara, Tenaga Nasional, MRT Co dan Kumpulan UEM berada dalam senarai teratas.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...