TERKINI :

Thursday, October 27, 2016

TMJ Persoal Keputusan FAM Selamatkan Pahang, PDRM


PETALING JAYA: Penaung kelab JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mempersoalkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memotong tiga mata pasukannya yang dilihat sebagai cubaan membantu mengekalkan Pahang dan PDRM dalam saingan Liga Super pada musim depan.

Menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook, Johor Southern Tigers, Tunku Ismail mengulas tentang isu penggantungan Juan Martin Lucero yang dikatakan menerima tiga kad kuning, tetapi tiada pihak dari FAM atau Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) memaklumkan perkara itu kepada pihaknya.

Malah jelas beliau, tiada surat rasmi atau surat hitam putih yang diberikan oleh Jabatan Perundangan FAM berhubung penggantunggan Lucero.

"Soalan saya adalah berkaitan statut FAM yang jelas menyatakan 72 jam selepas perlawanan tidak boleh ada apa-apa protes, kenapa pula Jawatankuasa Tatatertib FAM memanggil sidang mesyuarat dan memutuskan keputusan iaitu Pahang mendapat tiga mata percuma selepas dua bulan?

"Dan juga pada masa ini cuba menyelamatkan PDRM yang diuruskan oleh menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," katanya.

Selain itu, Tunku Ismail mendakwa, pihak tertentu di dalam FAM, ahli jawatankuasa dan lain-lain tidak suka kepada pasukan Pulau Pinang yang diuruskan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Datuk Gary Nair.

Beliau mendakwa, Gary merupakan musuk FAM kerana beliau membantah berkenaan polisi Sultan Pahang sebagai Presiden FAM (sewaktu Sultan Pahang menjadi Presiden FAM).

"Disebabkan itu, FAM pada masa ini mahu menurunkan Pulau Pinang kerana hendak menyelamatkan pasukan yang penting bagi mereka dan FMLLP," katanya.

Tunku Ismail membangkitkan persoalan bahawa sepatutnya pasukan Pahang patut disingkirkan.

"(Ini) kerana sudah dua bulan. Dalam status tersebut jelas mengatakan selepas 72 jam, mana-mana pasukan tidak boleh membuat sebarang protes atau bantahan.

"Itu adalah undang-undang. Jadi selama ini apa yang telah ditunjukkan kepada saya adalah semua keputusan yang dilakukan sendiri oleh oleh Ahli Jawatankuasa Tatatertib tanpa merujuk kepada statut tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail yang kini berada di Madrid, Sepanyol untuk berucap pada Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia, turut memberi amaran bahawa beliau akan mendedahkan betapa korup pihak FAM.

"Saya ingin memberi ucapan tentang usaha kita membantu bola sepak tanahair Malaysia dan bola sepak di Asia Tenggara serta beritahu mereka mengenai pencapaian JDT.

"Dan buat masa ini jikalau macam inilah perangai orang FAM, saya akan tukar fikiran. Saya akan ceritakan di mata dunia, seluruh dunia yang berada di 'World Football Summit' betapa korupnya FAM," katanya.

Terdahulu, (FMLLP) menjelaskan badan itu tidak mempunyai kuasa mengenakan tindakan disiplin terhadap pasukan yang menurunkan pemain sepatutnya menjalani hukuman penggantungan perlawanan dalam Liga Malaysia.

Jurucakap FMLLP yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi Bernama, sebaliknya berkata hanya Jawatankuasa Tatatertib FAM mempunyai kuasa berbuat demikian terhadap pasukan yang melanggar peraturan tersebut.

"Tugas FMLLP hanya menguruskan bahagian media, komunikasi dan pemasaran Liga Malaysia, manakala FAM masih bertanggungjawab dalam hal tatatertib, pengadilan, undang-undang, perubatan, keselamatan dan integriti," jelas sumber itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...