TERKINI :

Thursday, October 13, 2016

Tawaran RM2 juta sebulan untuk abaikan jenayah, kata bekas IGP


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa bahawa beliau ditawarkan RM2 juta sebulan untuk mengabaikan aktiviti jenayah.

"Ketika berkuasa, sindiket tawarkan saya RM2 juta setiap bulan untuk membenarkan mereka menjalankan aktiviti perjudian, pelacuran, dadah dan pinjaman wang haram tanpa pemeriksaan,” katanya yang dipetik The Star hari ini pada sebuah seminar mengenai integriti untuk penjawat awam semalam.

Tetapi, katanya, beliau bukan sahaja menolak tawaran itu tetapi bertindak lebih tegas dan menutup aktiviti haram berkenaan.

Hasilnya, beberapa ketua samseng dan kongsi gelap berprofil tinggi berjaya ditangkap semasa khidmat Musa sebagai polis.

Ditanya sama ada ketua polis lain juga menerima tawaran sama, Musa berkata beliau tidak tahu.

"Saya juga enggan menerima hamper semasa saya adalah IGP. Kami, pegawai-pegawai kanan, perlu memimpin melalui teladan."

Musa juga mengimbas kembali bahawa beliau pernah dituduh mengambil rasuah ketika dirinya adalah pegawai penyiasat di Melaka.

"Pegawai dari Badan Pencegah Rasuah memberitahu, saya disiasat kerana beberapa orang bawahan menggunakan nama saya untuk meminta rasuah.

"Saya beritahu pegawai itu, tangkap mereka. Orang seperti ini tidak perlu diberi sebarang kelonggaran," katanya.

Sebagai IGP, Musa berkata beliau tidak bertolak ansur dengan sebarang kegiatan jenayah.

Antara pencapaian utamanya, apabila berjaya menahan tujuh suspek ketua kumpulan haram Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Singapura, pada bulan Julai 2007.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...