TERKINI :

Thursday, October 13, 2016

Surat terbuka kepada Yang Berhormat

http://roketkini.com/wp-content/uploads/2013/06/1st-day-parliment-2013-_MG_5596-12.jpg
Apakah kenyataan politik yang bertalu-talu di media arus perdana (akhbar dan televisyen) oleh para pemimpin politik dapat meredakan resah dan gundah gulana kami rakyat jelata tentang masa depan ekonomi dan kesejahteraan hidup?

Setahu kami Tuan Yang Berhormat tidak kira Menteri atau Timbalan Menteri dilantik selepas mendapat mandat daripada rakyat melalui kerusi Parlimen. Kamilah rakyat yang memilih Tuan-Tuan semua. Kalau kami tidak memilih, Tuan Yang Berhormat tidak berada di situ.

Rakyat memilih Ahli Parlimen di kawasan masing-masing dengan harapan kalau bernasib baik Tuan Yang Berhormat dapat menganggotai Kabinet. Tidak kiralah Menteri atau Timbalan Menteri. Kalau tidak terpilih dalam Kabinet pun kami mengharapkan Ahli Parlimen yang dipilih bercakap hal-hal rakyat.

Tetapi sejak akhir-akhir ini Tuan-Tuan Yang Berhormat pemimpin politik kerajaan lebih banyak berhujah, membelasah dan mempersenda parti saingan di media arus perdana. Maaflah Tuan Yang Berhormat, kami tidak mahu menjadi penonton aksi pemain politik.

Tuan Yang Berhormat patut sedar tanggungjawab sebagai anggota Kabinet. Tua Yang Berhormat perlu banyak bercakap perihal porfolio masing-masing yang berkaitan dengan hal ehwal kami sebagai rakyat, bukannya bercakap perihal politik.

Memang semua maklum bahawa Tuan Yang Berhormat adalah pemain politik. Makan Tuan Yang Berhormat adalah makan politik. Mimpi Tuan Yang Berhormat juga mimpi politik. Tetapi berpada-padalah berpolitik kerana dalam manifesto parti, yang tercatat adalah khidmat kepada rakyat. Tidak tercatat kerja serang menyerang parti lawan hingga lupa tugas yang hakiki.

Cuma beberapa orang sahaja yang selepas memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri lebih banyak berkerja daripada berpolitik. Lebih banyak mengeluarkan kenyataan tentang keadaan ekonomi semasa daripada berbalas hujah dangkal di kandang politik.

Tentu sukar untuk kami menafikan Menteri Kewangan 11, Johari Abdul Ghani misalnya lebih banyak berkerja daripada berpolitik. Bila kali terakhir Johari meberikan kenyataan politik yang menyerang dan mempersenda lawan? Tentu tergagau juga untuk mengingati kerana Johari bukan seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak yang lebih banyak menyerang parti lawan, malah sudah setaraf panglima.

Begitu juga bekas Menteri Kewangan 11, Ahmad Husni Hanadzlah yang lebih banyak berkerja dalam ruang tugas berbanding berpolitik di media arus perdana. Tetapi pemimpin yang begini tidak banyak dalam kerajaan. Barangkali disebabkan Tuan Yang Berhormat tidak boleh memisahkan kedudukan sebagai pemain politik dan pemimpin kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat.

Sebagai rakyat yang sebulan gaji hanya sama dengan sepasang kasut Menteri, kami merasa telah diabaikan oleh pemimpin-pemimpin politik dalam kerajaan. Kami berdepan dengan kenaikan harga barang yang tidak masuk akal, kami juga terpaksa menanggung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Anak-anak kami berdepan dengan peluang pekerjaan yang menirus malah yang punyai pekerjaan pun tidak terlepas risiko diberhentikan kerja kerana masalah ekonomi.

Anak-anak kami yang mendapat peluang melanjutkan pengajian ke luar negara juga terpaksa melupakan peluang itu apabila agensi seperti Mara mengecilkan jumlah pelajar yang diberikan pinjaman. Kami sedar ini bukan salah Mara tetapi kami hendak tahu apakah langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Kenyataan-kenyataan dangkal Tuan Yang Berhormat menyerang dan mempersenda bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad misalnya tidak memberikan pencerahan kepada kami rakyat jelata yang terumbang ambing dalam bahtera yang "membuka layar tetapi sauhnya dilabuhkan." Tidak ke mana-mana.

Kami tidak mahu tahu samada parti Tuan Yang Berhormat tergugat atau tidak dengan pembangkang. Kami juga tidak mahu tahu pembangkang terdesak atau tidak. Itu bukan urusan yang akan mengubah masa depan kami. Itu urusan Tuan Yang Berhormat dan jangan khabarkan kepada kami di media arus perdana. Kami sudah muak mendengar dan membacanya.

Tuan Yang Berhormat jeritkanlah di pentas-pentas politik kerana yang pergi ke situ adalah mereka yang berminat dan ada kepentingan dengan hidup mereka.

Lagi pula apa perlunya Tuan Yang Berhormat berpolitik hingga lupa "siang dan malam" dan lupa tanggungjawab kepada rakyat kerana Tuan Yang Berhormat juga yang sangat yakin parti Tuan Yang Berhormat tidak tergugat sedikit pun dengan serangan pembangkang.

Nah, Tuan Yang Berhormat dengan mudah boleh mempertahankan status quo menjadi parti kerajaan di negara ini. Kami mengharapkan Tuan Yang Berhormat mengendahkan kami sebagai rakyat jelata. Kami tidak mahu tahu atau ambil tahu perihal parti Tuan Yang Berhormat. Itu bukan kepentingan kami.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...