TERKINI :

Saturday, October 1, 2016

Strategi politik pemimpin Umno bila tidak kisah ahli keluar parti

Logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang terkini selepas pendaftaran pertubuhan itu diluluskan.Kenyataan pemimpin Umno yang seolah-olah tidak kisah ahlinya keluar menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanyalah merupakan strategi politik, kata Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

"Setiap parti apabila ahlinya keluar, mereka akan risau sebenarnya. Tapi mereka tidak boleh menunjukkan kerisauan sebab situasi akan nampak lagi buruk kalau mereka tunjuk risau.

"Mereka cuba menunjukkan kepada ahli-ahli, yang nak keluar terpulang kepada mereka.

"Mereka guna istilah pembersihan, buang penyakit, buang buruk dan sebagainya supaya menampakkan parti tidak memerlukan ahli-ahli yang tidak setia. Kalau dari satu aspek, ada kebenarannya pendekatan itu," katanya seperti dipetik Sinar online hari ini.

Namun katanya, Umno tidak boleh mengelak hakikat bahawa partinya sedang mengalami perpecahan dan kemerosotan ahli.

"Kita boleh lihat sejauh mana peningkatan keahlian Bersatu dalam jangka masa enam bulan ini. Di situ kita akan lihat kesannya kepada Umno.

"Tapi ia akan mengambil masa sebab itu, formula adakan pilihan raya dalam masa terdekat itu akan menguntungkan Umno," katanya.

Beliau dalam kenyataan sama juga menyebut Bersatu bakal menerima nasib sama seperti parti serpihan Umno, Semangat 46 yang ditubuhkan pada 1988, yang bertahan hanya lapan tahun.

Katanya, dua parti serpihan itu wujud berdasarkan kepada protes terhadap kepimpinan Umno sekarang antara sebab parti baharu tidak kekal lama.

"Kerana itu parti ini tidak akan kekal lama. Parti ini akan jadi macam Semangat 46. Akhirnya kembali kepada Umno," ujarnya seperti dipetik. 

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...